Walaupun tidak berhasrat mengulas rombakan kabinet kerajaan Madani, Presiden PAS Abdul Hadi Awang tetap menyifatkan jemaah menteri pimpinan musuh politiknya itu sebagai ‘subhah’ atau meragukan.
Malah Ahli Parlimen Marang berkenaan memberi analogi mengenai kerajaan diterajui Anwar Ibrahim umpama air atau makanan yang tiada sempadan halal atau haram.
Menurut Abdul Hadi, perumpamaan tersebut memang sesuai diberikan kepada gabungan PH yang dilabelnya bersifat liberal sekular sehingga menghilangkan ciri bangsa yang menjadi fitrah manusia, serta berprinsip sekularisme yang menjadi perjuangan DAP.
“Kepada Melayu Islam, sila tepuk dada tanya iman, dan kepada Melayu yang bebas pula, sila tepuk dada tanya selera.
“PAS berserta kumpulan Melayu Islam dan bukan Melayu Islam tetap tidak berminat dengan hidangan yang begitu rupa kerana tidak ada sempadan halal dan haram, bahkan menjadi syubhah dan keliru hukumnya, termasuk kalangan bukan Islam juga ada yang tidak berselera dengan campuran tersebut.
“Demikianlah pendekatan baru Malaysia Madani, sangat sesuai dengan konsep agama Abraham yang dibawa oleh Donald Trump yang menjadi tetamu yang amat diraikan, membawa pendekatan perpaduan umat baharu bagi menyatukan semua agama yang sangat berbeza akidahnya,” katanya.
Tambah bekas duta khas perdana menteri bertaraf menteri itu lagi, Islam tidak boleh memaksa seseorang dalam anutannya, namun penganut sebenar tetap teguh beristiqamah berjalan di atas sempadan dan acuan halal, haram, atau syubhah yang digariskan Allah.
Abdul Hadi berkata demikian dalam perkongsian tulisan minda presiden terkininya, hari ini.
Berpisah lepas bertembung
Terdahulu rombakan kabinet oleh perdana menteri menghadirkan reaksi pelbagai pihak khususnya pemimpin pembangkang.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, antaranya dilihat menyentuh isu kaum susulan pelantikan Ahli Parlimen DAP Hannah Yeoh dan Lo Su Fui (PBS) sebagai menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.
Abdul Hadi mendakwa PAS tetap mengikut sempadan. Menjelaskan hujahnya, dia sekali lagi memberi perumpamaan menggunakan makanan yang boleh dimasak di dalam periuk yang sama dan dihidangkan dalam hidangan yang sama.
Sebaliknya, kata Abdul Hadi, ada pula masakan yang wajib diasingkan kerana berbeza selera.
“Begitulah perbezaan konsep masyarakat Madani yang bersifat mutlak dalam menangani masyarakat majmuk seperti makanan campuran kuetiau yang tidak dilarang untuk memakannya, tetapi hendaklah mengikut sempadan Allah berkaitan halal dan haram dengan perlu dimuhasabah ramuan dan campurannya, walau sesiapa pun yang menjadi tukang masaknya serta walaupun dia memakai kopiah dan serban ketika memasaknya dan membaca bismillah pada permulaannya.
“Kalau makanan yang salah campurannya akan menjadi masalah kepada perut yang diisi, akhirnya menyebabkan berbagai-bagai penyakit yang menimpa jasad dan akal,” katanya.

Jelas ahli politik berusia 78 tahun itu lagi, campuran politik di negara ini boleh membawa pelbagai natijah jika mengambil pendekatan yang salah seterusnya membawa akibat lebih besar kepada seluruh kehidupan.
“Islam menerima kewujudan masyarakat majmuk yang bercirikan fitrah madani secara holistik yang tidak ada pada ajaran yang lain.
“Hal ini disebabkan terkawal oleh aqidah atau iman yang boleh mengarahkan tindakan pemimpin mengikut sempadan Allah, tuhan semesta alam yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana dan tidak boleh ditandingi oleh kebijaksanaan manusia, walaupun berakal dan berilmu,” katanya Abdul Hadi lagi.
Dia turut mengulas mengenai kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat sebelum ini yang didakwanya berlangsung atas prinsip ada titik persamaan kemanusiaan yang boleh bekerjasama, namun ia tidak bermakna PAS menerima kesemuanya.
“Perpisahan berlaku apabila terjadi pertembungan dalam aspek kenegaraan Islam yang memaksa PAS menerima kehendak pihak lain sehingga meninggalkan dasar asasinya.
“PAS dapat menyaksikan kini betapa pengaruh campuran yang salah berlaku dalam masyarakat yang ditembusi oleh pengaruh luar yang sangat negatif, sehingga lebih menjaga keselamatan anjing gila yang berbahaya daripada mengutamakan keselamatan manusia.
“Kalau dibiarkan, nescaya akibatnya sangat buruk kepada negara dan rakyat,” tegasnya.
