Sekumpulan peminat motosikal klasik menempa sejarah tersendiri selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dengan membawa sebuah Vespa pada 17 Dis lalu.
Mereka terdiri daripada Abdul Halim Daud, 59, Khairil Aslan Ab Rasid, 51, Mohd Johaniff Mohamed Sohaimi, 40, Herwin Ahmad Syam, 37, Mohamad Yasin Mahmud, 36 dan Mohd Alias Riduan, 35.
Menamakan misi itu sebagai ‘Expedisi Vespa ke puncak Kinabalu’, Mohd Johaniff berkata, dia secara peribadi menyimpan hasrat mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu sejak 2016 lagi.
Bagaimanapun katanya, impian untuk baru boleh dicapai tahun ini bersama rakan-rakan dengan persiapan akhir dilakukan pada Oktober lalu.
“Misi ini menggabungkan kepada dua tujuan, iaitu mencipta sejarah buat dunia Vespa dan mempromosikan negeri Sabah sempena Tahun Melawat Sabah 2026.
“Kami terdiri daripada ahli Kelab Vespa Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan misi menjelajah dan menguatkan lagi kerjasama antara ahli selain merealisasikan misi di luar kotak,” katanya kepada Malaysiakini.

Pendakian selama 13 jam bermula 16 Dis lalu itu memberi cabaran tersendiri untuk membawa beban sebuah Vespa model smallframe 90cc tahun 1960-an.
Mohd Jonaniff berkata, motosikal klasik milik rakan mereka Sofyian Suno, 46, yang mengizinkan jentera kesayangannya itu menjayakan misi tersebut.
Menurutnya, motosikal seberat 80 kilogram itu dileraikan satu per satu bahagian dan setiap pendaki diberikan tugas untuk memikul beban masing-masing.
“Dalam persediaan misi ini, kami menjalani latihan mengangkat bebas dan stamina, kelengkapan pendakian dan juga penaja.
“Persediaan akhir selesai pada Oktober lalu apabila slot mendaki dan kebenaran membawa Vespa dikeluarkan pihak Taman Negara Sabah.

“Pada awalnya kami sedaya upaya menggunakan kudrat sendiri untuk membawa beban Vespa ini. Namun selepas pendakian sekitar lima kilometer, kami terpaksa menggunakan khidmat ‘porter’.
“Alhamdulillah, apa yang penting pendakian selama 13 jam berjaya membawa kami ke puncak Gunung Kinabalu dan turun dengan selamat,” katanya.
Sebaik tiba di puncak katanya, komponen Vespa tersebut dipasang semula dengan kemahiran mereka.

“Untuk pasang semula komponen dan membentuk sebuah Vespa yang sempurna ini hanya mengambil masa sekitar 15 minit.
“Cuma kami tidak dibenarkan untuk menghidupkan enjin motosikal ini di puncak mengikut undang-undang pihak berkuasa,” kata Mohd Johaniff yang pernah menjelajah Kepulauan Indonesia dengan menaiki Vespa beberapa tahun lalu.

Sementara itu Abdul Halim mengambil kesempatan merakam penghargaan kepada barisan penaja utama ekpedisi mereka iaitu Sabah Tourism, Kedai Vespa Naim Tuah, dan Vespa House Kota Kinabalu.
“Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli kelab seluruh negara yang memberi sokongan padu kepada misi ini,” katanya.


