Bekas ahli parlimen Klang, Charles Santiago, menggesa parlimen menjalankan penelitian penuh ke atas Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan AS sebelum sebarang ratifikasi baru dibuat.
Dalam kenyataan hari ini, Charles turut memberi amaran agar pihak eksekutif tidak diberikan kuasa sewenang-wenangnya membuat keputusan terkait dasar perdagangan.
Katanya ART yang ditandatangani dengan Presiden Donald Trump itu menerima banyak kritikan daripada pertubuhan masyarakat sivil, parti politik dan ahli akademik, khususnya melibatkan isu ketelusan, ruang dasar serta implikasi jangka panjang terhadap Malaysia.
Mengucapkan tahniah kepada Johari Abdul Ghani atas pelantikannya mengepalai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (Miti), Charles berkata, sikap keterbukaan yang ditunjukkan ahli politi terbabit memang dialu-alukan.
Dia turut memuji Johari kerana menyatakan keinginannya untuk meneliti semula ART, termasuk merundingkan kembali terma yang dianggap tidak adil atau memudaratkan kepentingan negara.
“Bagaimanapun, sebarang langkah ke arah ratifikasi mesti berasaskan bukti dan proses demokrasi,” katanya.
Dalam rombakan kabinet pada Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menamakan Johari – yang sebelum itu menjadi Menteri Perladangan dan Komoditi – untuk mengepalai Miti.
Johari menggantikan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang berundur selepas menghabiskan tempohnya selama dua penggal sebagai senator.
Timbalan Tengku Zafrul, Liew Chin Tong, pula dilantik sebagai timbalan menteri kewangan. Tempat Liew digantika oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Charles turut menggesa Miti menjalankan analisis kos-manfaat menyeluruh terhadap ART selain kajian berkepentingan nasional serta membentangkan dapatannya di parlimen.
“Langkah ini telah dilakukan bagi perjanjian-perjanjian terdahulu seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) di bawah kerajaan BN dan PN.
“Ia dianggap sebagai amalan terbaik dalam rundingan perdagangan,” katanya.
Menurut Charles, kajian-kajian tersebut perlu merangkumi penilaian kesan ekonomi dan sosial yang mendalam, serta aspek pertambahan dan kehilangan pekerjaan, kesan terhadap harga ubat-ubatan dan kos penjagaan kesihatan, implikasi kepada perniagaan bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta industri halal.
Bidang lain yang turut perlu diberi perhatian, katanya, termasuk kehilangan hasil tarif, kesan pengagihan merentasi sektor dan kumpulan, serta sejauh mana perubahan undang-undang dan peraturan domestik diperlukan, serta penjajaran dengan undang-undang dan piawaian AS.
Dia juga memberi amaran bahawa meneruskan ratifikasi ke atas ART atau mempertahankan perjanjian itu secara terbuka tanpa menerbitkan dan membahaskan kajian mengenainya di parlimen adalah “tidak bertanggungjawab dari segi prosedur dan tidak dapat dipertahankan secara demokratik”.
“Rakyat Malaysia berhak tahu siapa yang mendapat manfaat, siapa yang menanggung kos dan sama ada perjanjian ini benar-benar menguntungkan ekonomi negara atau tidak, sama ada dari aspek perniagaan, pekerja dan pengguna atau lebih mengutamakan kepentingan luar.
“Malaysia tidak boleh mengikat dirinya dengan komitmen yang mengehadkan ruang dasar, melemahkan akauntabiliti demokrasi atau menjejaskan masa depan ekonomi negara.
“Meneruskan perjanjian tanpa pendedahan penuh, penilaian berasaskan bukti dan kebertanggungjawaban kepada parlimen merupakan kegagalan tadbir urus dan satu pencabulan kepercayaan awam,” tegasnya.
