Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan politikkan isu makanan lewat di PPS - Sultan Pahang

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan semua pihak tidak mempolitikkan sebarang isu berkaitan pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu.

Nasihat itu susulan terdapat aduan berlaku kelewatan pengagihan makanan kepada mangsa banjir pada hari pertama mereka ditempatkan di PPS sekitar daerah Kuantan.

"Jangan politikkan isu yang timbul di PPS, terutamanya membabitkan kelewatan makanan tiba untuk mangsa pada hari pertama.

"Lagipun itu hari pertama dan mungkin (banjir) berlaku keadaan yang tidak dijangka.

"Namun, secara keseluruhannya semua urusan lain tidak ada masalah, semua agensi kerajaan negeri dan pasukan keselamatan menjalankan peranan masing-masing dengan baik," titahnya ketika berucap selepas berkenan melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, dekat Kuantan, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan negeri, Nazri Abu Bakar.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah ketika ditemui media selepas majlis berkenaan memaklumkan, baginda akan mendapatkan laporan terperinci berhubung dakwaan berkenaan.

"Saya pun baru sampai hari ini dan saya akan dapatkan laporan terperinci berkaitan isu berkenaan.

"Setakat yang saya dimaklumkan, tiada komen atau serius," katanya.

Al-Sultan Abdullah sebelum ini berada di Thailand bagi memberi sokongan kepada skuad equestrian polo Malaysia yang diwakili anakandanya, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Pasukan itu memperoleh pingat emas dalam Sukan SEA Thailand 2025 semalam, selepas menewaskan pasukan tuan rumah.

Sebelum ini tular di media sosial dengan dakwaan mangsa banjir ditempatkan di PPS sebuah sekolah dekat Kuantan tidak menerima makanan tengah hari dan lewat mendapat makanan malam.

Daerah Kuantan mula dilanda banjir Selasa lalu, susulan hujan lebat sejak Sabtu.

Lebih 50 PPS diaktifkan di seluruh Pahang, bagaimanapun setakat petang ini, hanya 40 PPS terus beroperasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS