Paling Popular
Terkini

Pengerusi Urimai, P Ramasamy menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri paling hipokrit kerana menurutnya gagal menterjemahkan janji reformasi institusi kepada tindakan nyata.

Ramasamy berkata, ini khususnya dalam isu pembunuhan di luar proses kehakiman oleh polis, penggunaan(Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan kematian dalam tahanan.

Tambah Ramasamy, kegagalan kerajaan Madani melaksanakan reformasi asas menunjukkan jurang besar antara retorik ketika menjadi pembangkang dan realiti apabila sudah memegang kuasa.

"Apabila berkuasa, janji reformasi hilang. Anwar bercakap tentang perubahan, tetapi pada hakikatnya beliau terlalu lemah atau terlalu takut untuk memaksa akauntabiliti.

"Cuba lihat, pembunuhan di luar proses kehakiman oleh polis terus mencemarkan nurani negara, dengan naratif pertahanan diri berulang kali digunakan bagi menutup kegagalan membawa anggota terlibat ke muka pengadilan.

"Tiada seorang pun anggota polis didakwa atas tuduhan bunuh. Mangsa pula sering dilabel penjenayah, kebanyakannya dari kelas pekerja, minoriti dan golongan terpinggir," katanya di ‘Forum Urimai: Hak Asasi di bawah Kerajaan Madani: Reformasi atau Reformati’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, selagi Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak diwujudkan, Sosma tidak dimansuhkan dan reformasi dalam pendakwaan tidak dilaksanakan, kerajaan Madani akan kekal sebagai kerajaan janji kosong di bawah seorang perdana menteri yang hipokrit.

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu turut memberi data untuk menyokong lagi dakwaannya.

Menurutnya, pada 2022, terdapat 10 kejadian tembakan oleh polis yang mengakibatkan empat kematian, berdasarkan laporan Suaram.

Bagi kematian dalam tahanan, laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menunjukkan antara 2011 hingga 2021, seramai 430 orang meninggal dunia di penjara, lokap polis, dan depot imigresen.

Pada tahun 2023 sahaja, terdapat 74 kematian dalam tahanan, dengan 22 di fasiliti polis, 11 di penjara, dan baki 41 di depot imigresen. Suaram pula melaporkan 21 kematian dalam tahanan polis pada tahun 2022, manakala organisasi hak asasi antarabangsa melaporkan 24 kematian dalam tahanan antara 2022 hingga Mei 2024.

"Dari segi etnik, antara tahun 2002 hingga 2016, 23.4 peratus kematian dalam tahanan polis adalah orang India menurut angka rasmi, tetapi laporan organisasi hak asasi menunjukkan peratusan sebenar mungkin sehingga 50 peratus, menunjukkan kesan yang tidak seimbang terhadap komuniti India," katanya.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata kes polis menembak mati suspek di Durian Tunggal, Melaka, berkata insiden itu hanyalah kemuncak kepada budaya kebal undang-undang yang telah berakar selama puluhan tahun.

"Jika benar reformasi wujud, mekanisme seperti Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) sudah lama dilaksanakan. Tanpanya, polis percaya mereka boleh buat apa sahaja tanpa dihukum.

"AGC pula kini jadi hakim, pendakwa dan penasihat dalam satu pejabat. Apakah ini yang dimaksudkan reformasi institusi?” soalnya.

"Sosma sepatutnya untuk ancaman keselamatan tahap tinggi, tetapi realitinya digunakan terhadap orang miskin, minoriti, pendatang dan kelas bawahan kerana polis tiada bukti," katanya.

Tambahnya lagi, penahanan berpanjangan tanpa perbicaraan, ada yang mencecah lima hingga enam tahun, merupakan hukuman tanpa sabitan yang mencabul prinsip keadilan.

"Tidak perlu Sosma. Mansuhkan sahaja. Undang-undang sedia ada sudah mencukupi jika penyiasatan dibuat dengan serius.

"Sikap parti-parti kerajaan termasuk PKR dan DAP yang didakwa berdiam diri soal reformasi, sehingga menjejaskan kepercayaan rakyat," katanya.

Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 16 Dis mengarahkan polis menyiasat kes tembakan maut melibatkan tiga lelaki yang disyaki perompak di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu sebagai kes bunuh.

Anwar sebelum ini berkata dia diberi jaminan oleh Ketua Polis Negara dan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus tanpa tolak ansur.

Anwar bagaimanapun menambah, walaupun salah laku polis tidak boleh diabaikan, perbuatan sedemikian perlu dibezakan daripada tindakan yang diambil terhadap “penjenayah tegar”, sambil merujuk beberapa kes anggota polis yang cedera ketika menjalankan tugas.

“Walaupun kita menuntut agar polis menjalankan tugas dengan cermat dan mengikut undang-undang, kita tidak boleh memberi gambaran bahawa kita lemah atau bertolak ansur terhadap penjenayah tegar yang berkeliaran,” tegas Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS