Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Albert Tei, peguam tak tolak kemungkinan saman SPRM
Diterbitkan:  Dec 21, 2025 4:46 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Ahli perniagaan Albert Tei dan peguamnya, Mahajoth Singh, tidak menolak kemungkinan memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan.

Ia berhubung serbuan agensi antirasuah itu ke kediaman Tei bulan lalu.

Bagaimanapun, Mahajoth berkata keutamaan mereka ketika ini ialah mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“Ini merupakan perkara berkepentingan awam, khususnya bagi memastikan agensi penguatkuasaan, termasuk SPRM, bertindak dalam lingkungan undang-undang dan tidak terlibat dalam perbuatan menyalahi undang-undang atau intimidasi yang tidak perlu, termasuk penggunaan atau ancaman penggunaan senjata api.

“Pada peringkat ini, fokus kami kekal kepada akauntabiliti dan ketelusan.

“Namun demikian, kami tidak menolak sebarang remedi undang-undang, termasuk prosiding sivil, yang akan dilakukan pada waktunya,” kata Mahajoth dalam pesanan teks kepada Malaysiakini.

Dia mengulas cadangan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz agar mereka mengikut jejak peguam Siti Kasim dan anak guamnya, yang telah menyaman polis dan kerajaan berhubung serbuan tidak sah ke atas kediamannya pada tahun 2018.

Kes tersebut menyaksikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menganugerahkan Siti dan anak guamnya, Anis Nur Izzatty Ruslan, ganti rugi sebanyak RM274,375.

Mahkamah memutuskan bahawa serbuan itu adalah menyalahi undang-undang kerana dilakukan tanpa sebarang niat untuk menghubungi penghuni rumah terlebih dahulu.

"Akibat serbuan dan tangkapan tidak sah, Siti Kasim menang saman ganti rugi RM270,000.

"Agak-agak kalau Albert Tei saman kerajaan dan Sprm, berapa dia boleh dapat ya?

"Ada peguam atau geng peguam yang boleh share pengalaman dan maklumat?” kata Tun Faisal dalam satu hantaran Facebook.

Pada 28 Nov, sekumpulan pegawai SPRM lengkap berpakaian taktikal — termasuk vest kalis peluru dan balaclava — telah menyerbu rumah Tei di Puchong, Selangor, dan menggari usahawan itu sebelum membawanya masuk menaiki sebuah kenderaan berwarna hitam.

Isterinya, Lee Pei Rie, kemudiannya mempersoalkan cara operasi itu dijalankan, dengan mendakwa pasukan terbabit telah menceroboh masuk ke rumah mereka melalui pintu utama sebelum beberapa orang daripada mereka menggari Tei.

Salah seorang daripada mereka juga didakwa mengacukan senjata api ke arah Tei dari jarak tertentu.

Lee juga mendakwa ahli keluarga mereka yang lain diarahkan berkumpul ke sudut lain rumah.

Seterusnya dia mendakwa pegawai SPRM merampas telefon bimbit mereka, termasuk milik anak-anaknya untuk memadam video dan imej daripada peranti tersebut.

Polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat operasi berkenaan susulan laporan yang dibuat oleh Lee.

Bagaimanapun Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, memaklumkan bahawa siasatan awal mereka belum menemui sebarang bukti bahawa SPRM telah mengacukan senjata api ke arah Tei.

Ia sekali gus mendorong Mahajoth mengulangi gesaannya supaya pihak berkuasa mendedahkan rakaman video ketika serbuan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS