Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
2

Keputusan mahkamah berhubung permohonan Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah yang dijangka diputuskan esok akan menentukan sama ada bekas Perdana Menteri itu masih mampu mempengaruhi landskap politik negara, walaupun dia telah kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebahagian peguam berpendapat akses Najib kepada pelawat dan hubungan dengan dunia luar akan disekat sama seperti ketika berada di Penjara Kajang, namun ada juga yang berpendapat tokoh berusia 72 tahun itu masih berupaya memberi kesan kepada Umno, parti yang pernah diterajuinya sebagai presiden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini menunggu keputusan mahkamah sama ada dia dibenarkan menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah atas kes rasuah atau sebaliknya.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, berkata Najib mungkin tidak akan dapat pulang ke rumah dalam masa terdekat walaupun Mahkamah Tinggi mengekalkan titah diraja yang membenarkan dia menjalani hukuman di rumah.

Menurutnya, pembebasan Najib tertakluk kepada terma dan syarat yang akan ditetapkan oleh pihak penjara, selain kemungkinan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan oleh pihak pendakwaan.

Ragunath menjelaskan, rumah yang didiami Najib akan beroperasi seperti sebuah penjara, di mana pergerakan serta hubungannya dengan dunia luar akan dihadkan.

Najib juga tidak akan dibenarkan mengakses media sosial atau berkomunikasi secara bebas seperti sebelum dia dipenjarakan pada September 2022.

“Jadi kemungkinan besar beliau tidak boleh pulang serta-merta. Secara teknikalnya, hukuman penjara di rumah adalah hampir sama seperti di penjara, dengan akses terhad kepada pelawat dan juga media sosial,” katanya.

Selepas BN tewas dalam PRU14 pada 2018, Najib masih mempunyai pengaruh besar di media sosial dan sering menjadi duri dalam daging kepada kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Akses lebih baik kepada orang awam

Namun begitu, seorang lagi peguam, Haniff Khatri, berkata walaupun jumlah pelawat akan dihadkan, berada di rumah tetap berbeza berbanding berada di Kompleks Penjara Kajang.

“Berada di rumah sudah tentu memberikan akses kepada orang awam yang jauh lebih baik berbanding berada di penjara.

“Jadi, beliau masih boleh memainkan peranan penting walaupun sedang menjalani hukuman penjara dari rumah, berbanding dari penjara,” katanya.

Haniff memberi contoh bahawa jika Pilihan Raya Umum ke-16 bakal diadakan, Umno berkemungkinan akan mendapatkan pandangan Najib mengenai strategi dan taktik politik, yang lebih mudah dilakukan sekiranya dia berada di rumah, tertakluk kepada akses ke kediamannya.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Najib, Haniff berkata Jabatan Peguam Negara mungkin akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan sementara menunggu rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Namun, dia berpendapat Mahkamah Tinggi wajar membenarkan Najib menjalani hukuman penjara di rumah serta-merta, selaras dengan prinsip kebebasan diri yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Berhubung pelaksanaan hukuman penjara di rumah, Haniff berkata Jabatan Penjara perlu memperincikan pelbagai aspek termasuk kediaman yang akan diduduki Najib, jumlah pelawat yang dibenarkan, bilangan pegawai penjara serta kaedah penugasan mereka.

“Walaupun di rumah, ia tetap penjara. Beliau perlu berada di dalam rumah dari tempoh masa tertentu ke tempoh masa tertentu.

“Beliau mungkin tidak dibenarkan keluar langsung dari rumah. Mungkin hanya dibenarkan berada dalam kawasan rumah, tetapi tidak boleh meninggalkan kediaman kerana itu bermaksud meninggalkan penjara,” katanya.

Pengaruh politik

Sementara itu, penganalisis politik Mazlan Ali berpandangan sekiranya Najib menjalani tahan rumah ia mungkin membantu Umno mendapatkan semula sokongan sebahagian ahli akar umbi yang tidak mengundi parti itu pada PRU15 dan pilihan raya negeri, namun tidak semestinya meningkatkan sokongan keseluruhan rakyat terhadap kerajaan perpaduan.

“Popularitinya dalam kalangan rakyat tidak begitu tinggi sekarang. Mungkin hanya dalam kalangan ahli dan penyokong Umno.

“Rakyat hari ini membuat pilihan antara kerajaan Madani dan Perikatan Nasional. Orang Melayu kini lebih cenderung kepada naratif Islam yang dibawa PN.

“Faktor yang boleh mengimbangi pengaruh PN ialah program dan insentif oleh pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim seperti subsidi dan kempen anti-rasuah,” katanya.

Ditanya sama ada Najib mampu membuat kemunculan semula dalam politik sekiranya dibenarkan menjalani hukuman penjara di rumah, Mazlan berkata peluang tersebut adalah rendah.

Menurutnya, faktor usia serta kes mahkamah yang masih berjalan mungkin menyebabkan Najib terlepas peluang untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS