Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan memastikan kegagalan melunaskan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah lebih RM30 bilion antara 2015 hingga 2018 tidak berulang sekiranya cukai itu diperkenalkan semula.
Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan bahawa BN akan mendesak supaya GST dikembalikan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)
Menurut Lim, Ahmad Zahid gagal menyentuh kelemahan terbesar pelaksanaan GST sebelum ini, iaitu kegagalan kerajaan BN membayar bayaran balik GST seperti yang diwajibkan oleh undang-undang, sehingga tunggakan mencecah lebih RM30 bilion dalam tempoh tiga tahun.
"GST merupakan cukai penggunaan yang cekap dan adil kepada semua kerana ia memerlukan bayaran balik cukai input bagi mengelakkan cukai berganda.
"Malangnya, kerajaan BN pada ketika itu gagal membuat bayaran balik GST seperti yang diwajibkan oleh undang-undang, sehingga jumlah tunggakan mencecah lebih RM30 bilion dalam tempoh hanya tiga tahun.
"Jumlah bayaran balik GST yang besar ini menjadi beban berat kepada perniagaan, bukan sahaja menjejaskan aliran tunai mereka malah mengancam kelangsungan operasi perniagaan," kata Lim dalam kenyataan,” katanya.
Lim berkata bayaran balik GST berjumlah RM30 bilion itu hanya diselesaikan oleh kerajaan PH selepas mengambil alih pentadbiran pada 2019.

Terdahulu Ahmad Zahid berkata BN akan mendesak supaya GST dikembalikan dengan menyifatkannya sebagai rejim cukai terbaik bagi memastikan keadilan serta hasil pendapatan negara lebih kukuh.
Menurutnya pendirian BN jelas, namun parti itu bersedia memberi ruang kepada sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada untuk diteruskan buat sementara waktu.
"Pendirian BN adalah untuk mengembalikan GST. SST, kita beri peluang dahulu. Masih ada baki dua tahun lagi.
"Tetapi selepas PRU16, kita menuntut supaya GST, iaitu rejim cukai terbaik, mesti dikembalikan di negara ini supaya rakyat menerima peruntukan lebih besar dan merasai keadilan tanpa mengira status ekonomi," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-17 Makkal Sakti semalam.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas gesaan Presiden Makkal Sakti, R S Thanenthiran, yang meminta GST dikembalikan dengan menyatakan bahawa SST telah menyebabkan banyak kesukaran kepada rakyat.
Lebihan cukai tidak dipulangkan
Mengulas lanjut, Lim berkata sejak kerajaan PN mengambil alih pentadbiran pada tahun 2020 sehingga kini, lebihan cukai yang telah dibayar oleh perniagaan tetapi tidak dipulangkan oleh kerajaan telah mencecah puluhan bilion ringgit menjelang tahun 2025.
Lim mendakwa lebihan cukai tersebut, sama seperti lebihan cukai input GST sebelum ini, telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan dibelanjakan terlebih dahulu oleh kerajaan.
"Keadaan ini telah mengakibatkan mimpi ngeri berterusan kepada perniagaan yang tidak menerima bayaran balik lebihan cukai mereka setiap tahun sepanjang lima tahun yang lalu sejak 2020.
"Tiada asas moral, etika atau undang-undang untuk menahan lebihan cukai yang telah dibayar oleh pembayar cukai kerana ia adalah wang mereka sendiri dan bukannya wang kerajaan.
"Kami berharap kerajaan semasa dapat mula membayar balik sebahagian daripada puluhan bilion ringgit lebihan cukai yang belum dipulangkan oleh LHDN, dengan bayaran balik sebanyak RM20 bilion supaya perniagaan dapat menyambut Tahun Baharu Cina Tahun Kuda 2026 dengan lebih makmur,” katanya.
