Tindakan mahkamah menolak permohonan Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah telah mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu, dakwa pasukan pembelaan.
"Keputusan hari ini ialah satu keputusan yang nampaknya mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.
"Kita meminta dan memohon kepada Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong supaya mereka halusi keputusan hari ini (yang) ada impak yang begitu besar terhadap kuasa Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong," kata peguam bela Muhammad Shafee Abdullah.

Hakim Alice Loke memutuskan titah tambahan berkaitan tahanan rumah oleh Yang di-Pertuan Agong tidak sah “dalam pelaksanaan prerogatif pengampunan”.
Katanya, perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang Malaysia yang menyediakan mekanisme sedemikian.
Sementara itu, Shafee juga berkata, keputusan hari ini akan mewujudkan floodgate effect (kesan kebanjiran) untuk permohonan lain di mahkamah.
“Apa yang akan berlaku ialah akan ada floodgate of applications (kebanjiran permohonan) untuk mendapatkan penjelasan sepenuhnya tentang apa yang berlaku dalam Lembaga Pengampunan.
“Kerana dalam kes ini, ini adalah kes pertama,” katanya.
Bandingkan dengan kes Anwar
Peguam kanan itu juga membandingkan kes anak guamnya dengan kes melibatkan pengampunan diraja melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Bukan satu atau dua kes, tetapi sekurang-kurangnya tujuh, dan jika saya tidak silap, kesemuanya berjumlah sembilan keputusan mahkamah sebelum ini.
“Termasuk keputusan terkini berkaitan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahkamah dengan jelas menyatakan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan, atau keputusan Agong berhubung pengampunan, tidak boleh disangkal dan tidak boleh dicabar,” katanya.

Shafee turut menyuarakan rasa kecewa dan terkejutnya berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
"(Kami) terkejut dengan keputusan yang dibuat. Banyak perkara yang akan ditunjuk dan diceritakan berkenaan keputusan tadi.
"Fakta yang tidak begitu (kami) kagum dengan sebab-sebab yang diberikan oleh hakim Mahkamah Tinggi,” katanya dalam sidang media di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Shafee juga memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan terhadap rayuan bekas perdana menteri itu.
Tahun lalu, satu permohonan semakan kehakiman difailkan bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah tambahan Agong bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah.
Najib berkata titah tambahan itu tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh Lembaga Pengampunan dan kerajaan menghina mahkamah kerana gagal melaksanakannya.
Najib disabitkan bersalah menyalahgunakan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh pemenjaraannya daripada 12 tahun kepada enam tahun, selain menurunkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
