Peguam Latheefa Koya berkata seorang pemuda berusia 20-an mendakwa dipukul dan dicucuh dengan api oleh pihak polis ketika dia ditahan sebelum pegawai terbabit mengaku menahan orang yang salah.
Bercakap dalam sidang media di pejabat Lawyers for Liberty di Petaling Jaya hari ini, bekas Ketua pesuruhjaya SPRM itu membawa rakaman CCTV yang diambil dari rumah datuk mangsa di Banting, Selangor, tempat dia ditahan.
Rakaman tersebut menunjukkan pegawai polis terbabit didakwa menampar mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel.
Peguam Rajesh Nagarajan dalam sidang media itu menjelaskan bahawa rakaman CCTV asal, yang lebih jelas, telah diserahkan kepada pihak polis sebagai bukti, manakala klip yang dipaparkan adalah salinan.
Daniel, yang hadir pada sidang media itu mendakwa dia turut didera ketika ditahan di Balai Polis Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.

"Dia ambil lighter, dia hulur api dekat saya punya kemaluan,” dakwanya.
Latheefa berkata pegawai polis terbabit juga didakwa mencucuh bibir bawah Daniel dengan hujung rokok yang menyala.
Bagaimanapun katanya, mereka kemudian dimaklumkan oleh polis bahawa kes Daniel diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
"Kita kena faham, apa yang berlaku kepada Daniel adalah kes salah identiti. Bukan setakat Daniel menafikan, polis sendiri memberitahu bahawa sebenarnya silap orang.
"Silap orang, tapi pukulan, terajang dan sebagainya telah berlaku daripada awal lagi. Sama ada dia nafi atau tidak, pukulan dan sebagainya telah berlaku,” katanya.

Ibu Daniel yang turut hadir dalam sidang media itu mendakwa pegawai terbabit cuba menghalangnya daripada membuat laporan polis.
"Kalau saya tarik report kes anak saya itu, dia akan macam hapuskan kes anak saya itu. Lepas tu dia ada ceritalah kalau saya teruskan report, pihak polis ini akan dipenjara dua tahun dan denda RM2,000 saja.
"Kalau kes anak saya dia akan buka semula. Dia kata kes anak saya akan penjara 14 tahun," katanya.
Rajesh berkata Daniel dibawa ke hospital selepas dibebaskan empat hari kemudian.
Rajesh berkata pegawai perubatan mengeluarkan laporan yang mengesahkan dakwaan Daniel dengan senarai kecederaan termasuk kecederaan tisu lembut pada bahu kanan, beberapa luka calar pada kaki, dan kesan melecur pada bibir bawah.

Mengulas lanjut, Rajesh berkata peguam Daniel berhasrat untuk menuntut keadilan di mahkamah.
"Kita nak pegawai-pegawai polis yang telah pun memukul anak guam kami, Daniel, diheret ke mahkamah dan dituduh sekurang-kurangnya untuk assault dan battery,” katanya.
Dia juga menggesa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia supaya mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai polis berkenaan.

Kes-kes terkini berkaitan salah laku anggota polis telah meningkatkan desakan supaya Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan seorang wanita dari Selangor meminta penjelasan daripada pihak berkuasa berikutan cara polis mengendalikan kesnya selepas dia membuat laporan mengenai serangan seksual yang dialaminya oleh seorang bekas jiran.
Bulan lalu, polis menembak mati tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka, selepas salah seorang daripada mereka didakwa menyerang pegawai polis dengan parang di sebuah ladang sawit.
Pengkritik berkata Suruhanjaya Tatakelakuan Polis (IPCC) sedia ada, yang berkuatkuasa pada Jun 2023, adalah lemah sekiranya dibandingkan dengan IPCMC.
Berbanding IPCMC, IPCC tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai polis yang melakukan kesalahan. Sebaliknya, tindakan perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Polis atau pihak berkuasa berkaitan.
IPCC juga tidak dapat menyemak aduan terhadap pegawai polis yang tidak mematuhi peraturan atau prosedur operasi standard, yang tidak memberi justifikasi terhadap tindakan mereka apabila perlu, dan yang melakukan kesalahan jenayah.
