Penyokong bekas perdana menteri Najib Razak meluahkan kekecewaan terhadap keputusan mahkamah hari ini yang menolak permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Asmawati Md Hassan, 51, dari Pekan, Pahang berkata kehadiran penyokong dari pelbagai negeri menunjukkan sokongan berterusan terhadap Najib yang menurutnya dizalimi oleh sistem keadilan.
“Ramai yang datang hari ini, bukan dari Pekan sahaja, dari negeri-negeri lain juga.
“Kami datang nakkan keadilan dan pembebasan Datuk Seri Najib,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah.

Asmawati mendakwa keputusan mahkamah tersebut tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan menyuarakan kekecewaan terhadap apa yang disifatkannya sebagai penolakan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
“Kami sangat kecewa dengan keputusan hari ini. Datuk Seri Najib tidak dapat pembelaan sewajarnya,” katanya, sambil menegaskan penyokong akan terus memberikan sokongan sehingga Najib dibebaskan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Hakim Alice Loke memutuskan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong mengenai penahanan di rumah itu tidak sah di sisi undang-undang.
Loke berkata berdasarkan alasan yang telah dikemukakan, titah tersebut bukanlah satu perintah yang sah yang dibuat dalam pelaksanaan prerogatif pengampunan.


Mahkamah juga berpendapat bahawa perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang di Malaysia yang menyediakan mekanisme sedemikian.
Sementara itu, Suzzalina Anuar, 43, dari Lenggeng, Negeri Sembilan, yang berkata dia dan penyokong lain mengharapkan mahkamah membenarkan Najib menjalani baki hukuman di rumah.
“Kami ingatkan Datuk Seri Najib dapat tahanan di rumah untuk habiskan baki hukuman, tetapi keputusan hari ini tidak memihak kepada beliau,” katanya.
‘Umur lanjut, jasa banyak’
Suzzalina mempersoalkan layanan terhadap Najib dan menekankan sumbangan bekas perdana menteri itu kepada rakyat.
“Kami bukan minta benda lain, kami hanya nak Datuk Seri Najib jalani hukuman di rumah. Umur beliau pun semakin lanjut dan jasa beliau banyak,” katanya.

Sementara itu, Alias Samat, 68, dari Kuala Selangor mengaitkan keputusan mahkamah tersebut dengan landskap politik semasa, sambil mencadangkan perubahan strategi politik Umno.
“Lebih baik Umno-BN bertanding secara bersendirian selepas ini, tidak perlu kerjasama dengan PH,” katanya.
Rosmah menangis, genggam tangan Najib
Sementara itu, keluarga Najib kelihatan sugul susulan keputusan mahkamah.
Rosmah Mansor mengalirkan air mata sambil menggenggam erat tangan suaminya.
Isteri Najib itu juga dilihat berbincang dengan peguam sambil meluahkan rasa kesal terhadap penghakiman tersebut.

Anak pasangan itu, Nooryana Najwa turut meluahkan rasa dukacita terhadap keputusan berkenaan.
Terdahulu, ratusan penyokong Najib berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur seawal 7 pagi tadi.
Sokongan terhadap bekas ahli parlimen Pekan itu turut dizahirkan menerusi laungan “Keadilan untuk Najib”, “Bebas Bossku” dan “Lawan tetap lawan”.
Tahun lalu, satu permohonan semakan kehakiman difailkan bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah tambahan Agong bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah.
Najib berkata titah tambahan itu tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh Lembaga Pengampunan dan kerajaan menghina mahkamah kerana gagal melaksanakannya.
Najib disabitkan bersalah menyalahgunakan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh pemenjaraannya daripada 12 tahun kepada enam tahun, selain menurunkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
