Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suaram desak AGC dakwa pegawai salah guna kuasa di Penjara Taiping
Diterbitkan:  Dec 22, 2025 2:38 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Suaram menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang terlibat dalam dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Penjara Taiping, yang menyebabkan seorang banduan meninggal dunia dan beberapa yang lain cedera.

Gesaan NGO itu dibuat selepas seorang pegawai penjara di Pusat Koreksional Kamunting (Kemta), Ryndee O'Nel Victor, 25, didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada 19 Disember lalu kerana menyebabkan kematian banduan Gan Chin Eng, 62, semasa rusuhan pada 17 Januari.

Ryndee mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Gan Chin Eng, 62, dengan mengetahui bahawa perbuatannya mungkin menyebabkan kematian banduan itu.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan 25 Februari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan kes.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Persoal hukuman ringan

Pengarah Eksekutif Suaram, Azura Nasron, menuntut AGC menjelaskan asas pertuduhan di bawah Seksyen 304(b) terhadap Ryndee serta segera mengambil tindakan lanjut berasaskan bukti terhadap semua pegawai yang terlibat.

Menurutnya pertuduhan seperti ini boleh dibuat berdasarkan peruntukan Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan kecederaan parah.

“Pertuduhan di bawah Seksyen 304(b) tidak setimpal dengan tahap keterukan dan cara kecederaan maut yang dialami Gan, memandangkan empat daripada tujuh kecederaan akibat hentakan tumpul telah menyebabkan hatinya pecah dan kehilangan darah sebanyak 37 peratus, sekali gus meletakkan Gan dalam keadaan yang mengancam nyawa.

“AGC juga tidak mengambil tindakan terhadap pegawai, warden dan kakitangan Penjara Taiping lain yang menyerang banduan, walaupun skala dan tahap kecederaan bukan maut adalah serius serta terdapat rakaman CCTV yang sepatutnya membolehkan pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti,” kata Azura.

Dia turut menegaskan kelewatan mendakwa Ryndee mencerminkan kegagalan untuk mengambil tindakan segera dan adil dalam kes penyeksaan dan layanan buruk yang membawa maut dalam tahanan, terutamanya apabila pertuduhan hanya difailkan lebih 11 bulan selepas kejadian berlaku.

Azura menegaskan bahawa tidak adil jika hanya sebahagian pihak dipertanggungjawabkan dan menekankan bahawa tindakan jenayah terhadap pihak yang bersalah tidak boleh ditangguhkan semata-mata kerana laporan siasatan Suhakam masih dalam proses disiapkan.

Suhakam sebelum ini memulakan siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Penjara Taiping susulan kematian Gan, yang dikatakan meninggal dunia selepas didakwa diserang oleh seorang warden semasa rusuhan pada 17 Januari yang melibatkan lebih 100 banduan.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Abdul Aziz Abdul Razak, berkata semasa memberi keterangan di hadapan panel Suhakam pada 22 September, jabatan itu tidak pernah membenarkan atau mengarahkan pegawainya menggunakan kekerasan berlebihan terhadap banduan.

Dia turut mendakwa bahawa rusuhan tersebut sebenarnya boleh dielakkan sekiranya banduan mematuhi arahan pemindahan, sambil menambah bahawa jabatan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat, khususnya pegawai penjara, selepas siasatan Suhakam selesai.

Abdul Aziz juga mengakui bahawa Gan mungkin boleh diselamatkan sekiranya menerima rawatan perubatan segera selepas kejadian berkenaan.

Sebelum ini, Suaram turut menggesa Suhakam mengambil tindakan terhadap pegawai penjara yang didakwa berbohong ketika memberi keterangan semasa prosiding suruhanjaya tersebut, sambil menyifatkan keengganan Suhakam untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu sebagai “tidak berasas”.

Menurut Azura, beberapa kakitangan Penjara Taiping memulakan keterangan mereka dengan menafikan bahawa mereka terlibat memukul banduan, walaupun rakaman CCTV menunjukkan sebaliknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS