Polis menerima satu laporan baharu melibatkan seorang lagi murid lelaki yang mendakwa turut menjadi mangsa amang seksual oleh seorang guru yang sebelum ini ditahan atas tuduhan yang sama, di sebuah sekolah di Kampung Pandan, di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata laporan dibuat oleh keluarga mangsa yang berusia 11 tahun, pada 1 tengah hari semalam di Balai Polis Pudu.
“Laporan ini melibatkan suspek yang sama dan kini masih dalam tahanan reman. Sehingga kini, siasatan melibatkan kedua-dua laporan masih giat dijalankan terhadap suspek.
“Kita berharap masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil membantu pihak polis kerana kes sebegini memerlukan sokongan serta bantuan awam,” katanya selepas Majlis Prihatin Insani Bersama Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur hari ini.
Pada Sabtu lepas, seorang guru lelaki berusia 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sekolah sama, selepas laporan polis yang diterima pada Jumaat lepas.
Suspek direman selama enam hari hingga 25 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.
Pada majlis sama, Fadil merakamkan penghargaan kepada Yayasan Al-Izuddin (YAIZ), MedicAid dan Kumpulan Sri Ternak atas kerjasama menyalurkan sumbangan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur menerusi penganjuran Majlis Prihatin Insani bersama PERKEP Kuala Lumpur.
Beliau berkata sumbangan itu disasarkan kepada warga polis Kuala Lumpur daripada golongan asnaf, termasuk mereka yang mempunyai anak istimewa, sebagai usaha menyantuni kebajikan keluarga polis.
Sementara itu, Pengerusi PERKEP Kuala Lumpur Datin Nurashidah Ishak berkata penganjuran majlis berkenaan bukan sekadar penyampaian sumbangan, sebaliknya manifestasi nilai kemanusiaan, kasih sayang dan tanggungjawab sosial yang perlu terus dipupuk dalam masyarakat.
“Sebanyak 96 anak asnaf dan 94 anak istimewa telah menerima sumbangan ini kerana mereka ini mempunyai hak untuk dihormati dan diberi peluang yang adil. Anak-anak istimewa hadir dengan keunikan tersendiri serta potensi besar sekiranya diberi sokongan dan kefahaman berterusan daripada semua pihak,” katanya.
Nurashidah berkata PERKEP komited untuk terus menjadi pelengkap kepada usaha PDRM dalam menjaga kebajikan keluarga polis, khususnya isteri dan anak-anak.
- Bernama
