mk-logo
Berita
Keputusan hakim dah jangka - Puad tunggu keputusan PAU2026
Diterbitkan:  Dec 22, 2025 2:55 PM
Dikemaskini: 8:03 AM
1

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib Razak untuk menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah melalui titah adendum Yang di-Pertuan Agong sebagai sesuatu yang sudah dijangka.

Menurutnya, isu titah adendum itu telah berlarutan hampir dua tahun selepas didakwa disorokkan oleh kerajaan.

“Ada yang telefon, kenapa tidak hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Saya jawab, keputusan hakim sudah boleh dijangka. Saya tidak mengharap.

“Drama ini berlarutan dua tahun. Titah adendum disorok. Keputusan oleh Mahkamah Rayuan dirayu oleh AG (Peguam Negara). AG adalah penasihat undang undang kepada kerajaan. Siapa nasihat AG agar merayu?

“Hakim Alice Loke kata titah adendum dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan. Tetapi kenapa pengampunan PMX dianggap sah walaupun AG dan menteri wilayah belum dilantik ketika itu,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Alice Loke memutuskan titah tambahan berkaitan tahanan rumah yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah tidak sah “dalam pelaksanaan prerogatif pengampunan”.

Menurut hakim, perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang di Malaysia yang menyediakan mekanisme sedemikian.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam utama mewakili bekas perdana menteri, Muhammad Shafee Abdullah berkata keputusan mahkamah itu berpotensi mencetuskan kesan kebanjiran permohonan lain di mahkamah.

“Apa yang akan berlaku ialah akan ada floodgate of applications (kebanjiran permohonan) untuk mendapatkan penjelasan sepenuhnya tentang apa yang berlaku dalam Lembaga Pengampunan.

“Kerana dalam kes ini, ini adalah kes pertama,” katanya.

Sementara itu, Mohd Puad berkata dia kini menunggu keputusan perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang dijadualkan bermula pada 15 Januari tahun depan.

“Apa langkah seterusnya. Saya jawab, saya akan ikut keputusan perwakilan di PAU UMNO bermula 15 Jan 2026 tahun hadapan.

“Keyakinan saya tidak akan berubah. Saya meyakini hujah Abdul Rahman Sebli bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan adil.

“Tunggu PAU 2026. Lebih baik kita jaga kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS