Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Titah Agong diperlakukan tidak wajar, rakyat Pahang terhina'
Diterbitkan:  Dec 22, 2025 4:41 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung isu titah addendum yang dikemukakan oleh bekas perdana menteri Najib Razak,.

Menurut pemimpin Bersatu itu, titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah diperlakukan secara tidak wajar.

Saifuddin Abdullah

“Sebagai rakyat Pahang, saya berasa terhina kerana Titah Sultan Pahang selaku Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) diperlakukan sedemikian,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Menurut bekas menteri itu, dia mengikuti hujahan penghakiman mahkamah yang pada peringkat awal merujuk kepada kes pengampunan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong adalah bersifat tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

“Saya mendapati bahawa Yang Arif Hakim telah bermula dengan merujuk kes pengampunan Anwar Ibrahim di mana mahkamah persekutuan telah memutuskan bahawa titah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah non-justiciable.

“Maknanya sebarang titah Seri Paduka Baginda tidak boleh dipersoalkan di mahkamah,” katanya.

Namun, Saifuddin mempersoalkan kesimpulan seterusnya dalam keputusan itu, apabila hakim menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong terikat dengan keputusan Lembaga Pengampunan.

“Selepas itu, YA Hakim menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong terikat dengan keputusan Lembaga Pengampunan, di mana di sini boleh difahami bahawa Seri Paduka tidak lagi boleh menjalankan kuasa prerogatif Baginda,” katanya.

Menurut Saifuddin, tafsiran tersebut memberi implikasi besar terhadap kedudukan dan prerogatif Raja Berperlembagaan sehingga menimbulkan rasa tersinggung di kalangan rakyat.

Dia seterusnya mempersalahkan kerajaan hari ini kerana didakwa gagal mengendahkan titah addendum berkenaan, malah menyembunyikannya dalam tempoh yang lama.

“Ia berpunca dari tindakan kerajaan hari ini yang tidak mengendahkan, malah menyembunyikan Titah Addendum tersebut selama kira-kira setahun.

“Akibat keingkaran tersebut, maka perkara ini terpaksa melalui proses mahkamah yang membawa kepada keputusan pada hari ini,” katanya lagi.

Permohonan Najib untuk tahanan rumah bermula pada 2024, susulan permohonan semakan kehakiman yang difailkannya.

Ia dibuat selepas Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International kepada enam tahun serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dalam permohonannya, Najib mendakwa wujud satu titah tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, selain titah diraja utama yang mengurangkan hukumannya.

Dia kini menjalani hukuman penjara dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kes berprofil tinggi itu, bekas pengerusi BN dan bekas presiden Umno itu telah menghabiskan semua peringkat rayuannya selepas gagal membatalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa hukuman penjara asal Najib selama 12 tahun dan denda RM210 juta telah dikurangkan kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.

Menurut kenyataan itu, Najib dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, dua bulan kemudian, pada 1 April 2024, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujud satu perintah tambahan yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Dia menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonannya, Najib memohon perintah mandamus supaya semua atau mana-mana responden mengesahkan dan memperakui kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 itu.

Najib juga memohon perintah mandamus supaya, sekiranya perintah tambahan itu wujud, semua atau mana-mana responden melaksanakan perintah diraja berkenaan dan memindahkannya dengan segera dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Pada 4 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib dengan alasan afidavit sokongan mengandungi keterangan dengar cakap.

Keputusan itu mendorong Najib merayu ke Mahkamah Rayuan, di mana dia memenangi rayuan tersebut melalui keputusan majoriti 2-1, dengan perintah supaya perkara itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.

Pejabat Peguam Negara (AGC) kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 13 Ogos, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya ketika itu, Hasnah Mohammed Hashim, menolak rayuan AGC dan mengarahkan supaya semakan kehakiman Najib dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh berdasarkan merit kes.

Kes itu kembali didengar di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang telah mendengar hujahan semua pihak dan menetapkan hari ini sebagai tarikh keputusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS