Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hassan: Mengapa Anwar boleh, Najib tidak?
Diterbitkan:  Dec 22, 2025 5:04 PM
Dikemaskini: 10:16 AM
1

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, menyuarakan kebimbangan serius terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib Razak berhubung titah addendum, sambil menekankan implikasinya terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

Dalam satu hantaran di media sosial, Hassan menjelaskan bahawa keputusan mahkamah itu secara asasnya menolak kuasa budibicara Yang di-Pertuan Agong, yang hanya meringankan hukuman Najib dengan menempatkannya di tahanan rumah baki sisa hukuman kes SRC International.

“Tanpa berniat untuk mengkritik keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu atau untuk menghina keputusan mahkamah tetapi keputusan mahkamah tersebut jelas menolak kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Titah itu bukan membebaskan Najib dari tuduhan tetapi sekadar meringankan hukuman kepada tahanan di rumah baki sisa hukuman bekas perdana menteri itu di dalam kes SRC International.

“Ini adalah sesuatu yang mencemar dan menghina saki baki sedikit kuasa Raja-Raja Melayu yang masih ada di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini..

Menurut pemimpin PKR yang lantang itu, keluhuran Perlembagaan Persekutuan perlu dijunjung, namun pentafsiran isu perlembagaan seharusnya tidak keras dan kaku sehingga meremehkan institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tonggak sistem demokratik Malaysia.

“Rakyat sekarang bertanya mengapa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini pada tahun 2018 boleh mengampunkan Anwar Ibrahim sepenuhnya sehingga dia boleh bebas dari penjara walaupun tempoh tahanan penjaranya masih ada.

“Mengapa Anwar boleh tetapi Najib tidak boleh?” soalnya.

Hassan yang juga seorang peguam menegaskan bahawa keputusan Hakim Alice Loke hari ini perlu dirujuk ke Mahkamah Rayuan bagi memastikan sebarang kemungkinan kekhilafan tidak menjadi preseden yang akan melemahkan kuasa prerogatif Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu telah ada di sembilan negeri di Semenanjung dan menerima aspirasi rakyat untuk menubuhkan negara demokrasi berparlimen.

Sebagai timbal balasnya, Perlembagaan memperuntukkan kuasa budibicara Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu, termasuk dalam soal pengampunan.

“Jadi institusi Mahkamah perlu membandingkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Yang Arif Alice Loke dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah mempertahankan dan mengekalkan keputusan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar pada tahun 2018.

“Semua permohonan untuk mencabar keputusan pengampunan ke atas Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan seterusnya ditolak juga oleh Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah Persekutuan.

“Jadi adalah pelik apabila Hakim Alice Loke selaku Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak menghadam, menghayati dan mengambil iktibar dari kes pengampunan Anwar ,” katanya lagi.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati titah berkenaan tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.

Susulan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.

Najib telah menjalani hukuman penjaranya di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi pada asalnya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap beliau, keputusan yang kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, petisyen Najib untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 menyaksikan Lembaga Pengampunan memendekkan hukuman penjara beliau kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS