Bekas menteri Khairy Jamaluddin berkata bekas menteri kesihatan Dr Zaliha Mustafa mungkin melakukan kesalahan jika dia menolak tawaran rasuah tetapi gagal melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Dalam satu hantaran di Instagram, Khairy berkongsi tangkapan skrin laporan CodeBlue yang memetik G Sivamalar, pembantu kepada Zaliha ketika dia menjadi menteri kesihatan, yang mendakwa ahli politik itu menolak rasuah RM50 juta untuk menggugurkan dasar generational endgame (GEG) berkaitan tembakau dan vape.
Tangkapan skrin kedua yang dikongsi Khairy memaparkan analisis alat kecerdasan buatan ChatGPT mengenai sama ada kegagalan melaporkan cubaan rasuah tersebut boleh dianggap satu kesalahan.
Analisis itu menyatakan bahawa seorang pegawai awam yang gagal melaporkan cubaan rasuah boleh “terdedah kepada liabiliti” di bawah Seksyen 25(3) satu akta yang mewajibkan laporan dibuat mengenai rasuah.
“Peguam mungkin mahu memberi pandangan mengenai perkara ini,” kata Khairy dalam kapsyen hantaran tersebut.
Semakan Malaysiakini mendapati Seksyen 25(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang terlibat dalam rasuah atau cubaan merasuah hendaklah melaporkan kejadian itu beserta butirannya kepada pegawai SPRM atau polis terdekat.

Seksyen 25(4) akta yang sama pula menyatakan kegagalan mematuhi Seksyen 25(3) adalah satu kesalahan yang boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada peruntukan tersebut turut terpakai kepada saksi.
Kenyataan bercanggah
Pada 18 Dis, Sivamalar dalam satu kolum di Malaysia Gazette memuji apa yang disifatkannya sebagai “keberanian senyap” Zaliha kerana membuat keputusan yang betul walaupun berdepan risiko akibat negatif.
“Apabila berdepan syarikat tembakau dan kepentingan korporat besar, beliau tidak berganjak.
“Beliau pernah ditawarkan RM50 juta untuk menggugurkan dasar GEG. Beliau menolaknya tanpa teragak-agak dan meminta mereka beredar.
“Saya ada di situ. Saya menyaksikannya sendiri,” kata Sivamalar.
Menurut CodeBlue, Sivamalar dan Zaliha tidak membuat sebarang laporan kepada SPRM.
“Kami tidak mahu membuang masa. Kami hanya menumpukan kepada apa yang perlu kami lakukan,” kata Sivamalar kepada portal berita kesihatan itu.
Pembantu bekas menteri itu turut memberikan kenyataan bercanggah berbanding tulisannya apabila menjawab soalan portal berkenaan.
Apabila ditanya mengenai lokasi dan tarikh cubaan rasuah tersebut, Sivamalar mendakwa ia berlaku lebih dua tahun lalu.
“Tak ingat. Pasti bukan secara bersemuka,” katanya, meskipun sebelum ini mendakwa beliau menyaksikan kejadian itu sendiri.
Apabila ditekan mengenai percanggahan tersebut, dia berkata: “Tak ingat secara tepat butirannya. Sudah dua tahun.”
Dia turut mendakwa terdapat banyak tawaran rasuah lain yang dibuat melalui orang tengah dan panggilan rawak.
Dasar GEG diperkenalkan semasa Khairy menjadi menteri kesihatan pada 2022, dengan tujuan mengharamkan pembelian dan penggunaan produk nikotin oleh individu yang lahir selepas 2007.

Namun, Kementerian Kesihatan di bawah kepimpinan Zaliha menggugurkan peruntukan GEG daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam yang dipinda dan dibentangkan pada November 2023.
