Ancaman oleh pemimpin Umno untuk meninggalkan kerajaan lama kelamaan akan semakin kurang kesannya jika ia tidak disusuli dengan tindakan, kata bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli.
Mengulas kenyataan beberapa pemimpin Umno susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib Razak untuk menjalani tahanan di rumah, Rafizi berkata adalah lumrah bagi pemimpin Umno meluahkan kekecewaan terhadap keputusan tersebut.
“Ada yang kemarahannya meruap-ruap sehingga mengugut untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan, kalau saya faham apa maksud Ketua Pemuda Umnolah (Dr Akmal Saleh).
“Hak untuk mengambil tindak balas politik itu adalah hak Umno. Umno memang ada pilihan untuk menarik diri dari kerajaan…Tetapi kalau selalu sangat mengugut untuk keluar tetapi tidak keluar pun, lama kelamaan ugutan demi ugutan di masa hadapan akan menjadi tumpul,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Mengimbas pengalamannya sendiri, bekas menteri ekonomi itu berkata dia tidak gemar mengugut, sebaliknya memilih untuk menetapkan “garis merah” lebih awal dan mengambil tindakan apabila garis tersebut dilanggar.

Kata Rafizi lagi, tindakan Umno susulan keputusan mahkamah hari ini akan menunjukkan sebesar mana pimpinan Umno melihat isu berkaitan Najib.
“Tidak perlu ugut, tidak perlu kerah penyokong. Kalau garis merah dilanggar, letaklah jawatan. Begitulah pimpinan Umno akan diperhatikan rakyat - adakah pengampunan Najib ini satu garis merah?
“Sebab kalau ugutan keluar Kerajaan Madani terus dibuat tetapi sampai ke sudah tidak keluar, maksudnya isu pengampunan Najib bukanlah satu garis merah,” katanya lagi.
Pemilihan PKR pada awal tahun ini menyaksikan Rafizi tewas dalam usahanya untuk mengekalkan jawatan timbalan presiden. Dia kemudian meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi, atas dasar telah hilang mandat parti.
Umno mempunyai 27 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, dengan MCA menyumbang dua kerusi manakala MIC satu kerusi. Dalam PH pula, DAP menguasai 40 kerusi, diikuti PKR dengan 31 kerusi dan Amanah lapan kerusi.
Dalam beberapa hantaran di Facebook hari ini, Akmal menggesa agar Umno keluar daripada kerajaan dan memberi bayangan wujud percaturan politik di sebalik keputusan mahkamah hari ini.

Ia susulan hantaran Ahli Parlimen DAP Yeo Bee Yin di media sosial yang menyebut “satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini” dengan melampirkan pautan laporan keputusan mahkamah yang menolak permohonan Najib.
Dalam ruangan komen hantaran Akmal, ada yang mendesak Adun Merlimau itu serta pemimpin Umno lain supaya memberi tekanan kepada presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan tersebut, atau Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan.
Sementara itu, Setiausaha agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata mungkin sudah tiba masanya Umno menilai semula hubungannya dengan sekutu dalam kerajaan.
Zahid pula membuat mesej ringkas dan bersifat tersirat di media sosial — “Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak.”

Najib, 72, dipenjarakan sejak Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya dalam kes SRC International.
Sehari selepas Krismas, Najib akan mengetahui nasibnya dalam kes berkaitan 1MDB melibatkan dana RM2.3 bilion, apabila hakim Collin Lawrence Sequerah dijadualkan menyampaikan keputusannya pada jam sembila pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya.
