Isu ‘badan tanpa kepala’ yang diperkatakan semasa pemilihan PKR yang lalu kembali selepas 24 ahli jawatankuasa PKR Kulim Bandar Baharu menuntut mesyuarat agung khas (EGM) dibuat dalam tempoh 14 hari bagi membincangkan usul tidak percaya terhadap ketua cabang, Yeo Keng Chuan.
Tuntutan itu dikemukakan menerusi surat bertarikh 21 Disember lalu yang ditandatangani Ketua Biro Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) cabang tersebut, Khairul Bahar Hashim dan 23 ahli jawatankuasa yang lain.
"Kami selaku ahli jawatankuasa PKR Cabang Kulim Bandar Baharu memandang serius beberapa pelanggaran tadbir urus yang telah berlaku di bawah kepimpinan Yeo.
"Kami dengan ini secara rasmi menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah perlembagaan parti untuk menuntut agar pihak tuan memanggil Mesyuarat Agung Khas Cabang dalam tempoh empat belas hari dari tarikh surat ini,” katanya dalam surat yang dilihat Malaysiakini.
Mesyuarat tersebut adalah jalan terbaik untuk membahaskan dan memutuskan usul tidak percaya kepada Yeo, katanya lagi dalam surat yang dialamatkan kepada setiausaha cabang, Tan Kiat Hua.
Ketika dihubungi, Khairul Bahar mengesahkan surat tersebut.
"Ya, saya mengesahkan kandungan surat ," katanya ringkas.
Sementara itu, Yeo enggan memberi sebarang komen ketika ditanya berkenaan perkara yang dibangkitkan.
"Kami mengambil maklum kebimbangan anda mengenai isu-isu perpecahan parti kami.
"Bagaimanapun, kami tidak dibenarkan untuk mendedahkan perkara ini secara terbuka atau membincangkannya.
"Kita akan biarkan kepimpinan pusat mengendalikan perkara ini dengan sewajarnya,"katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh untuk komen.

Ini bukan kali pertama Yeo berdepan rasa tidak puas hati anggota cabang pimpinannya.
Pada 25 Jun lalu, 19 ahli jawatankuasa PKR cabang itu menyatakan pendirian tidak lagi percaya kepada Yeo dalam satu surat kepada ibu pejabat parti itu.
Salah seorang ahli jawatankuasa, Mohd Yusni Abdullah mendakwa beberapa tindakan Yeo melanggar perlembagaan parti.
Ketika itu, Fuziah mendakwa ada usaha pihak tertentu untuk menghasut anggota di peringkat cabang kerana tidak puas hati dengan keputusan pemilihan PKR pada April lalu.
Sesetangah pihak menggambarkan sejumlah keputusan dalam pemilihan itu sebagai fenomena "badan tanpa kepala" – pasukan menang, tetapi calon ketuanya kalah.
Perkara itu turut dilihat berlaku di PKR Kulim Bandar Baharu.
Pada 15 April lalu, calon ketua cabang yang tewas, Adam Teh Lean Ong menyuarakan kehairanannya terhadap keputusan pemilihan.
"Seluruh pasukan saya — dari timbalan ketua cabang hingga ahli jawatankuasa — menang dengan sekitar 786 undi.
"Sayap wanita juga menang dengan purata sekitar 285 undi, dan sayap pemuda menang dengan purata 141 undi. Tetapi saya seorang sahaja yang kalah dengan perbezaan 282 undi," katanya.
