Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kerajaan Madani berpegang teguh kepada prinsip penegakan hukum dan pengasingan kuasa susulan keputusan mahkamah berhubung isu titah Adendum membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.
"Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada," katanya dalam kenyataan.
Semalam, hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke memutuskan bahawa perintah penahanan rumah oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini adalah tidak sah kerana ia mengabaikan keperluan perlembagaan untuk baginda mendapatkan nasihat Lembaga Pengampunan sebelum memberi pengampunan.
Susulan keputusan itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, memberi gambaran bahawa wujud campur tangan politik dalam penghakiman tersebut.

Tanpa menyebut nama, Anwar hari ini menegaskan bahawa badan kehakiman mesti terus kekal bebas dan tidak dipengaruhi pihak luar.
Anwar juga secara tersirat menegur DAP yang "meraikan" keputusan itu semalam sehingga mencetuskan kemarahan Umno dan desakan agar parti itu keluar daripada kerajaan.
"Saya menyeru semua pihak agar menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana.
"Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini," kata Anwar.
Kenyataan Anwar itu senada dengan pemimpin PKR lain yang menegur DAP dan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang semalam berkata keputusan mahkamah menolak permohonan Najib menjalani tahanan rumah adalah “satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun”.
‘DAP dan Umno perlu menahan diri’
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan malam tadi, bekas setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata dia memahami perasaan Najib dan penyokongnya susulan keputusan berkenaan.

"Dalam suasana yang sensitif ini, saya berpandangan semua pihak perlu menahan diri. Termasuk rakan-rakan dalam DAP dan juga Umno, wajar untuk kita sama-sama menunjukkan kematangan politik dengan tidak menzahirkan sebarang reaksi atau kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai meraikan keputusan mahkamah.
"Keputusan kehakiman menyentuh emosi, maruah institusi dan rasa keadilan rakyat, dan sewajarnya ditanggapi dengan penuh tanggungjawab serta empati,” katanya.
Menurutnya, sebarang bentuk pelaksanaan hukuman atau kaedah penahanan tidak boleh dipisahkan daripada peruntukan undang-undang serta proses kehakiman yang ditetapkan oleh negara.
"Isu tahanan rumah bukanlah perkara baharu dalam sejarah Malaysia. Pada tahun 2016, kerajaan ketika itu secara rasmi menyatakan bahawa negara belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus bagi melaksanakan tahanan rumah.
"Atas asas itu, cadangan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman dalam bentuk tahanan rumah tidak dapat dilaksanakan, meskipun terdapat pertimbangan dari sudut kesihatan dan kemanusiaan.
"Pendekatan tersebut mencerminkan satu prinsip penting dalam negara hukum: bahawa undang-undang mesti diterapkan secara konsisten, tanpa mengira individu, kedudukan atau latar belakang politik," kata Shamsul.
Walaupun tiada undang-undang khusus bagi penahanan rumah, Akta Penjara sedia ada membenarkan menteri dalam negeri mengisytiharkan mana-mana lokasi — termasuk rumah — sebagai penjara.
Shamsul sebelum ini didakwa menerima lebih RM240,000 sebagai rasuah daripada ahli perniagaan Albert Tei berkaitan skandal perlombongan Sabah.
Tei juga telah didakwa memberi rasuah kepada pemimpin PKR itu.
Jika sabit kesalahan, Shamsul berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya 5 kali ganda daripada jumlah suapan.
