Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya.
Hakim Aslam Zainuddin menolak permohonan Ismanira atas alasan tiada keadaan istimewa yang mewajarkan pemberian penangguhan tersebut kepadanya.
Salah seorang peguam Ismanira, Tiara Katrina Fuad, mengesahkan keputusan mahkamah itu kepada Malaysiakini selepas prosiding hari ini dan memaklumkan mereka akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Peguam itu juga menambah bahawa setakat ini, belum ada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan Ismanira terhadap sabitan bersalahnya.
Wanita berusia 30 tahun itu mula menjalani hukuman penjara pada 31 Oktober lalu, selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mendapatinya bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak autistiknya, Zayn Rayyan, yang ditemukan meninggal dunia pada 2023.
Mahkamah turut menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan substantif terhadap sabitan tersebut.
Hakim Syahliza Warnoh, pada ketika itu, memberikan alasan serupa dalam menolak permohonan penangguhan hukuman penjara dengan menyatakan tiada keadaan istimewa untuk membenarkan penangguhan.
Ismanira didakwa pada 31 Jun tahun lalu di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, di mana dia dituduh mengabaikan Zayn Rayyan dari 5 hingga 6 Disember 2023, sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal kepadanya.
Dia disabitkan kesalahan pada Oktober tahun ini selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Hakim Syahliza Warnoh memutuskan bahawa dia telah cuai kerana membiarkan Zayn Rayyan berjalan di belakangnya tanpa pengawasan, yang membawa kepada kehilangan kanak-kanak itu.
Ismanira pada mulanya didakwa bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari. Bagaimanapun, Zaim dibebaskan pada 21 Julai selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Zayn Rayyan yang berusia enam tahun dilaporkan hilang pada 5 Disember dan ditemukan meninggal dunia berhampiran sebatang anak sungai di kawasan perumahannya pada keesokan harinya, dengan kesan kecederaan pada leher dan badan. Hasil bedah siasat ke atas mayatnya menunjukkan bahawa dia telah dibunuh.
