ULASAN l Saya berbeza pandangan dengan Hassan Karim dalam isu pengampunan berdasarkan rujukan kes dan undang-undang.
Titah adendum melibatkan tahanan rumah. Mahkamah Tinggi menyatakan tiada peruntukan undang-undang berkaitan tahanan rumah. PMX sendiri pernah dinafikan permohonan untuk mendapat tahanan rumah atas faktor kesihatan atas sebab yang sama. Akta Penjara 1995 dan Peraturan-peraturan Penjara 2000 menetapkan bahawa rawatan kesihatan seseorang adalah di hospital kerajaan yang ditetapkan.
Mahkamah memutuskan titah adendum ini tidak dibawa ke dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu, kerana umum mengetahui ia adalah titah tambahan selepas selesai mesyuarat Lembaga Pengampunan yang memutuskan meremitkan hukuman ke atas Najib Razak,daripada 12 tahun ke 6 tahun, dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Berbeza dengan kes PMX, ia jelas ia dibincangkan dan diputuskan oleh Lembaga Pengampunan kali ke-51 pada 16 Mei 2018 dan ia disahkan sendiri oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.
Kes pengampunan PMX sendiri pernah dicabar di Mahkamah dalam kes Mohd Khairul Azam Abdul Aziz lawan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan & Anor [2020] MLJU 1691 dan telah dijelaskan bahawa Lembaga Pengampunan telah bersidang dengan kehadiran peguam cara negara II yang telah turun kuasa oleh Peguam Negara dan kehadiran perdana menteri yang bertindak sebagai menteri wilayah Persekutuan bawah "Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2018".
Hakim Akhtar Tahir turut mengesahkan kuasa yang diberikan peguam negara kepada peguam cara negara II adalah sah dan berperlembagaan.
Mahkamah turut mengesahkan kehadiran peguam cara negara II adalah sah “In the Court’s view, this letter of the AG represents a legal delegation of power which is authorized under Article 42 clause 5 of the Federal Constitution. Although the AG might be on leave he is still the AG and therefore can delegate his presence at the Pardon’s Board to another officer.”
Justeru, kes pengampunan Najib dan PMX adalah jelas berbeza.
Saya juga tidak melihat keputusan kes ini telah melangkau kuasa prerogatif yang di-pertuan Agong (YDPA) seperti juga yang didakwa oleh peguam Najib.
Sebaliknya Mahkamah menetapkan isu proses dan prosedur yang perlu dituruti kerana dengan mengikut prosedur undang-undang inilah akan membantu memudahkan pelaksanaan titah pengampunan.
Saya bersetuju dengan pandangan Hassan bahawa sistem beraja kita telah wujud sekian lama sebelum wujud Perlembagaan Persekutuan. Namun secara fakta jawatan Agong hanya hadir bersama Perlembagaan Persekutuan.
Dalam erti kata lain, ia wujud bersama terbentuknya Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum terbentuknya Perlembagaan Persekutuan, berlaku Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang dimeterai melibatkan raja-raja Melayu dan Sir Gerard Edward James Gent, bagi pihak Raja George VI.
Ia berlangsung pada 1 Februari 1948 (Federation of Malaya Order in Council 1948). Ia bukan sekadar perjanjian tetapi kandungannya menjadi rangka perlembagaan untuk membentuk sistem raja berperlembagaan kita.
Maka ia menjadi asas sistem raja berperlembagaan, iaitu tindakan Agong adalah berpandukan perlembagaan.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ Adalah presiden Bersih.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
