Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda persoal Anwar: Siapa sebenarnya keruhkan keadaan?
Diterbitkan:  Dec 23, 2025 12:07 PM
Dikemaskini: 4:07 AM

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, mempersoalkan pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan reaksi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib Razak berkaitan titah addendum, semalam.

Dalam satu kenyataan, Amira Aisya menyifatkan tindakan Anwar yang juga presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai “pelik dan tidak patut”.

Katanya, ini khususnya apabila kenyataan tersebut dilihat seolah-olah menzahirkan simpati yang berisiko mengeruhkan keadaan.

“Saya rasa pelik dan tak patut bila PMX (Anwar) yang mengetuai PKR dan PH keluarkan kenyataan begini.

“Sedangkan begitu ramai aktivis dan ahli politik yang melawan Najib sewaktu beliau perdana menteri ada dalam PKR,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Amira turut mempertahankan reaksi segelintir pihak yang menyuarakan kegembiraan dan menyambut keputusan Mahkamah Tinggi, sambil menegaskan ini tidak didorong oleh dendam peribadi.

“Ini bukan soal dendam. Tapi menyambut kedaulatan undang-undang. Ini menyambut kemenangan rakyat pada 2018,” katanya.

Menurut Amira Aisya adalah sesuatu yang dapat difahami sekiranya ahli-ahli Umno marah terhadap keputusan tersebut atau terhadap pihak yang menyambutnya, memandangkan Najib merupakan tokoh besar parti itu.

Namun, Adun Puteri Wangsa, Johor itu mempersoalkan mengapa wakil rakyat PKR pula dilihat turut menunjukkan kemarahan terhadap reaksi tersebut.

“Yang saya tak faham bila ada wakil rakyat PKR sibuk nak marah-marah juga,” katanya, sambil menyimpulkan kekeliruan itu dengan ungkapan sinis, “Make it make sense.”

Kenyataan Amira Aisya hadir ketika perbahasan awam semakin memuncak mengenai reaksi pemimpin politik terhadap keputusan mahkamah dalam kes Najib.

Ia dilihat bukan sahaja menguji prinsip kedaulatan undang-undang, tetapi juga konsistensi politik parti-parti yang sebelum ini lantang menentang kleptokrasi.

Tanpa menyebut nama, Anwar hari ini menegaskan bahawa badan kehakiman mesti terus kekal bebas dan tidak dipengaruhi pihak luar.

Anwar juga secara tersirat menegur DAP yang "meraikan" keputusan itu semalam sehingga mencetuskan kemarahan Umno dan desakan agar parti itu keluar daripada kerajaan.

Hubungan antara Umno dan DAP dilihat semakin tegang apabila Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua melancarkan serangan terhadap penyokong Umno dengan melabelkan mereka sebagai “pencinta seorang penyangak”.

Malah secara terbuka, Pua menegaskan dia dan partinya berbangga kerana memainkan peranan penting dalam pemenjaraan Najib.

Pua, yang membongkar skandal 1MDB semasa Najib menjadi perdana menteri, turut menyatakan bahawa “penyangak terbesar di Malaysia” itu sepatutnya berterima kasih atas “diskaun besar” yang diterimanya apabila Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara serta denda yang dikenakan.

Hantaran itu dibuat sebagai reaksi terhadap beberapa pemimpin Umno yang mengecam Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin, kerana menyatakan bahawa kegagalan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah merupakan satu lagi sebab untuk diraikan hujung tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS