Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS gesa titah adendum Najib dikuatkuasakan serta-merta
Diterbitkan:  Dec 23, 2025 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

PAS memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memberi pengampunan, menangguhkan atau mengurangkan hukuman adalah kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja dan Yang Di-Pertua Negeri melalui Lembaga Pengampunan.

Justeru katanya, sebarang usaha menempatkan kuasa dan budi bicara pengampunan Diraja ini di bawah kawalan kehakiman atau birokrasi, berpotensi besar untuk menceroboh ketetapan Perlembagaan.

"Oleh itu PAS dengan tegas berpandangan isu adendum yang merupakan sebahagian keputusan langsung Yang di-Pertuan Agong Ke-IV mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang secara serta-merta tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran seperti mana yang berlaku dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018,” katanya.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke, menolak permohonan Najib untuk menjalan tahanan rumah apabila memutuskan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah tidak sah.

Ini kerana katanya, titah tersebut tidak dikeluarkan selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan, seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan.

Takiyuddin berkata PAS menyokong penuh hak Najib untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi itu selaras dengan perlindungan asasi setiap individu.

"PAS menggesa semua cabang kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan supaya bertindak dengan berani, telus dan setia berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan supaya keadilan akan tertegak secara konsisten dan kehormatan serta kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja terus terpelihara," katanya.

Ada yang buat-buat tak faham

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, berkata sebagai alumni Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), mahasiswa dididik mengenai dua perkara itu “Perlembagaan Persekutuan adalah tertinggi” dan “keluhuran undang-undang”.

“Kini ada yang tidak faham, ada yang buat-buat tak faham, dan ada yang sengaja tak nak faham,” katanya.

Woo berkata daripada sibuk melayan permintaan yang membelakangi apa yang dikehendaki penyokong PH, lebih baik kerajaan menegakkan prinsip asal dan melaksanakan langkah reformasi dalam kadar segera.

"PH tidak perlu mengorbankan prinsip asal demi individu atau kumpulan pendesak yang sebenarnya tidak pernah bersetuju dengan hala tuju reformasi,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan reaksi negatif daripada Umno terhadap pemimpin DAP yang meraikan keputusan Mahkamah Tinggi semalam. Pemimpin Umno kini mendesak parti itu keluar daripada Kerajaan Madani.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS