Seorang bekas pembantu kepada Dr Zaliha Mustafa telah membuat laporan kepada SPRM susulan dakwaan bahawa bekas menteri kesihatan itu gagal melaporkan tawaran rasuah RM50 juta untuk menggugurkan undang-undang generational endgame (GEG) berkaitan tembakau dan vape.
Bekas setiausaha politik Zaliha, G Sivamalar, berkata dia mengambil keputusan membuat laporan kepada suruhanjaya antirasuah itu selepas “artikel penghargaan” beliau terhadap bekas menteri berkenaan — yang memperincikan penolakan tawaran rasuah tersebut — telah “diambil di luar konteks dan diperbesarkan melalui petikan yang tersalah tafsir”.
“Saya membuat laporan kepada SPRM untuk meletakkan fakta penuh secara rasmi dalam rekod dan bagi menjelaskan (perkara ini). Saya bersedia memberikan penjelasan lanjut sekiranya diperlukan,” kata Sivamalar dalam satu kenyataan hari ini.
Dia menegaskan bahawa perkara itu tidak dibawa kepada SPRM sebelum ini kerana dirinya tidak mendapati wujud tawaran rasuah yang “serius atau jelas” sehingga melepasi ambang yang memerlukan laporan segera kepada pihak berkuasa.
“Sekiranya terdapat cubaan rasuah yang jelas, langsung atau nyata, ia pasti akan dilaporkan kepada pihak berkuasa tanpa sebarang keraguan,” kata Sivamalar, yang juga merupakan timbalan setiausaha agung PKR.
Dalam kolum bertarikh 18 Dis di Malaysia Gazette, Sivamalar memuji apa yang disifatkannya sebagai “keberanian senyap” Zaliha dalam membuat keputusan yang betul walaupun berdepan kemungkinan akibat negatif.
Sivamalar berkata apabila berdepan syarikat tembakau dan kepentingan korporat besar, Zaliha tidak berganjak, dengan merujuk kepada dakwaan bahawa dia pernah “ditawarkan RM50 juta untuk menggugurkan dasar GEG, tetapi menolaknya tanpa teragak-agak dan meminta mereka beredar”.
Walaupun Sivamalar turut mendakwa dia menyaksikan sendiri kejadian itu, dia kemudiannya memberikan kenyataan bercanggah apabila ditanya oleh CodeBlue mengenai lokasi dan tarikh cubaan rasuah tersebut.
“Tak ingat. Pasti bukan secara bersemuka,” katanya.
Dalam kenyataan hari ini, Sivamalar mengulangi bahawa insiden yang dirujuk berlaku kira-kira dua tahun lalu selepas Zaliha mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan sedang menyediakan perundangan berkaitan produk merokok dan vape.
Pengumuman itu, katanya, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemain industri dan pihak berkepentingan, sehingga menyebabkan beberapa individu cuba menghubungi pejabat menteri untuk memohon pertemuan.
“Dalam satu keadaan, ketika saya menguruskan pelawat di lobi, seorang individu atau sekumpulan orang meminta untuk bertemu menteri (Zaliha). Apabila ditanya tujuan pertemuan, jelas bahawa niat mereka adalah untuk merundingkan penarikan balik rang undang-undang yang dicadangkan, dengan isyarat tawaran tertentu.
“Saya segera memaklumkan perkara ini kepada (Zaliha). Beliau dengan tegas menolak untuk bertemu sesiapa dan mengarahkan supaya mereka diminta beredar. Saya menyampaikan arahan tersebut dan individu-individu berkenaan beredar,” kata Sivamalar.
Dia menegaskan bahawa Zaliha tidak pernah bertemu pihak yang didakwa menawarkan rasuah itu pada bila-bila masa dan tidak pernah melayan “sebarang perbincangan seumpama itu”.
Semalam, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata Zaliha mungkin telah melakukan satu kesalahan sekiranya dia mengetahui tentang tawaran rasuah tetapi gagal melaporkannya.
Seksyen 25(3) Akta SPRM 2009 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang terlibat dalam rasuah atau cubaan merasuah hendaklah melaporkan kejadian itu dan butirannya kepada pegawai SPRM atau polis terdekat.
Seksyen 25(4) akta yang sama menyatakan kegagalan mematuhi Seksyen 25(3) adalah satu kesalahan yang boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada peruntukan tersebut terpakai kepada saksi.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) turut menggesa SPRM menyiasat dakwaan Sivamalar, sambil meminta suruhanjaya itu mengesahkan dakwaan berkenaan serta mendedahkan dapatan siasatan secara terbuka bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
