PAS membangkitkan kebimbangan berlakunya ‘pencerobohan’ perlembagaan dengan menempatkan kuasa budi bicara pengampunan diraja bawah kawalan badan kehakiman atau birokrasi.
Pendirian itu dinyatakan selepas mahkamah semalam menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memberi pengampunan, menangguhkan atau mengurangkan hukuman adalah merupakan kuasa budi bicara yang di-pertuan Agong, raja-raja dan yang di-pertua negeri.

Katanya, ia adalah kuasa eksekutif yang dijalankan melalui Lembaga Pengampunan dan tidak tertakluk kepada persetujuan kehakiman, sokongan pentadbiran atau penerimaan politik.
“Justeru, sebarang usaha atau percubaan untuk menempatkan kuasa dan budi bicara pengampunan diraja ini bawah kawalan kehakiman atau birokrasi, berpotensi besar untuk menceroboh ketetapan perlembagaan mengenainya,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.
Hakim Alice Loke memutuskan titah adendum Yang di-Pertuan Agong mengenai penahanan rumah itu bukan perintah sah yang dibuat dalam pelaksanaan prerogatif pengampunan.
Loke juga berkata perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang di Malaysia yang menyediakan mekanisme sedemikian.
Dalam kenyataan hari ini, Takiyuddin berkata keputusan, arahan atau petunjuk yang dibuat oleh Agong dalam menjalankan kuasa budi bicara jelas berada dalam kerangka perlembagaan.
Justeru, katanya, kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan yang berpilih-pilih tidak boleh sama sekali digunakan untuk meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan diraja.
“Perbuatan sedemikian hanya akan menghakis dan merendahkan wibawa, kedaulatan dan kedudukan raja-raja seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan,” katanya.
Oleh itu, kata Takiyuddin, titah tambahan yang dibuat mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang secara serta-merta tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran, seperti dalam kes pengampunan Anwar Ibrahim pada tahun 2018.

Dia mengingatkan bahawa prinsip perlembagaan tidak boleh sama sekali dilaksanakan secara terpilih mengikut keperluan politik atau individu yang berbeza.
“Perlembagaan tidak menerima hierarki atau kelas dalam kalangan rakyat terutama dalam menjalankan kuasa pengampunan diraja,” katanya.
Katanya, kewujudan persepsi berlakunya layanan tidak setara akan merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem pemerintahan yang terbina berdasarkan perlembagaan dan undang-undang.
“Berdasarkan prinsip-prinsip tadi, maka PAS menyokong penuh hak Najib untuk memfailkan rayuan kesnya ke mahkamah yang lebih tinggi selaras dengan hak rayuan adalah jaminan serta perlindungan asasi setiap individu yang wajib dihormati dan dibenarkan berjalan dengan bebas, adil dan tanpa prejudis,” katanya.
