Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2026 dijangka sederhana kepada 4.2 peratus daripada anggaran sebanyak 4.8 peratus pada 2025, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan, permintaan domestik dan peningkatan sektor perkhidmatan yang berterusan akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.
Katanya ketidaktentuan luaran akan terus menjadi cabaran utama pada 2026, terutamanya daripada langkah-langkah tarif Amerika Syarikat (AS) yang berterusan.
“Bagaimanapun, permintaan domestik yang berdaya tahan dalam keadaan perbelanjaan berterusan, aliran pelaburan yang stabil dan sokongan kerajaan bersasar secara berterusan dijangka dapat mengurangkan tekanan luaran ini serta mengekalkan trajektori pertumbuhan yang stabil dan mampan,” katanya.
Menurut Kenanga IB, permintaan domestik dijangka terus menyokong pertumbuhan, selain aliran masuk pelancongan yang kukuh, keadaan pasaran tenaga kerja yang stabil dan peningkatan aktiviti perdagangan yang sederhana.
Katanya jualan perdagangan pengedaran akan meningkat sebanyak 6.1 peratus pada 2026 berbanding anggaran 5.7 peratus pada 2025 dan 5.5 peratus pada 2024.
“Momentum jualan kekal kukuh, dengan purata pertumbuhan 5.3 peratus tahun ke tahun untuk tempoh 10 bulan pertama 2025, disokong oleh perbelanjaan pada musim perayaan, ketibaan pelancong yang meningkat dan bantuan tunai sekali bayar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100,” katanya.
Katanya pasaran tenaga kerja dijangka kekal stabil pada 2026, disokong oleh gaji minimum yang lebih tinggi, pewujudan pekerjaan yang berterusan dalam sektor perkhidmatan dan pelaksanaan pelaburan yang diluluskan.
“Kami mengekalkan unjuran kadar pengangguran kami sebanyak 3.0 peratus pada 2026 selaras dengan pasaran tenaga kerja yang stabil pada 2025 (3.0 peratus) dan 2024 (3.3 peratus),” katanya.
Pada peringkat luaran, Kenanga IB menjangka prestasi akan kekal sederhana pada 2026, dengan pertumbuhan eksport diunjurkan menurun kepada 5.1 peratus daripada anggaran 6.0 peratus pada 2025 (2024: 5.8 peratus).
Katanya eksport meningkat 6.1 peratus dalam 11 bulan pertama 2025, dalam persekitaran penghantaran perlombongan yang lemah, gangguan bekalan, harga komoditi yang lebih rendah dan ringgit mengukuh, menjejaskan daya saing harga untuk komoditi eksport tertentu.
“Pada masa depan, tekanan luaran dijangka meningkat pada 2026 apabila impak daripada tarif AS mula dirasai dan pemulihan ekonomi China yang perlahan, memberi tekanan tambahan kepada eksport berkaitan komoditi.
“Aktiviti perdagangan yang dilakukan lebih awal ke AS pada 2025 dijangka kembali normal pada 2026,” katanya.
- Bernama
