Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafee patut dikenakan tindakan hina mahkamah - Veteran DAP
Diterbitkan:  Dec 23, 2025 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Peguam kanan Shafee Abdullah, yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak, wajar dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung kenyataannya selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, kata veteran DAP, Teng Chang Khim.

Dalam hantaran Facebook hari ini, Teng menyifatkan kenyataan Shafee sebagai “mengarut dan menggelikan hati”, selain bersifat politik sepenuhnya.

“Bagaimana seorang peguam boleh menjangkakan bahawa dia akan menang dalam setiap kes yang dibawanya ke mahkamah?

“Adakah ini kali pertama beliau kalah dalam kes kliennya sepanjang kerjayanya sebagai peguam?

“Kenyataannya bahawa keputusan itu telah mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu adalah bersifat politik sepenuhnya, tidak beretika dan tidak wajar bagi seorang ahli Badan Peguam untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian di luar mahkamah,” katanya.

Teng mengulas kenyataan Shafee yang mendakwa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan penahanan rumah Najib semalam merupakan penghakiman yang mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri dalam hal pengampunan yang dibawa kepada mereka.

Veteran DAP itu berkata kenyataan Shafee boleh diterima jika dibuat dalam prosiding rayuan, kerana dia berhak berhujah sebagai peguam dan dilindungi oleh keistimewaan profesional.

Namun, kata Teng, Shafee tidak lagi membuat kenyataan dalam menjalankan tugasnya sebagai peguam apabila kenyataan sedemikian dibuat di luar mahkamah.

Ini lebih-lebih lagi apabila hakim hanya menjalankan tugas kehakiman dengan mentafsir peruntukan perlembagaan selaras dengan undang-undang yang sedia ada.

“Ia tidak akan membuatkan beliau (Shafee) menang kes anak guamnya di mahkamah, tetapi pasti akan menghasut kebencian kaum dan menimbulkan syak wasangka terhadap integriti badan kehakiman.

“Oleh itu, Shafee wajar dikenakan tindakan menghina mahkamah dan tindakan tatatertib yang sewajarnya perlu diambil terhadapnya oleh Majlis Peguam,” katanya.

Semalam, Hakim Alice Loke menolak permohonan semakan kehakiman Najib, yang memohon agar titah adendum bagi membenarkan bekas presiden Umno itu menjalani baki hukuman penjara di rumah, dikuatkuasakan.

Permohonan itu ditolak selepas mahkamah mendapati titak adendum tersebut tidak sah di sisi undang-undang.

Dalam permohonannya, Najib mendakwa titah adendum itu merupakan perintah sampingan kepada pengampunannya, di mana Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara SRC International selama 12 tahun kepada separuh serta mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Hukuman itu berpunca daripada sabitan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Najib akan terus berada di Penjara Kajang untuk menjalani baki hukumannya sementara menunggu rayuan.

Dengan tempoh hukuman penjara yang telah dikurangkan kepada enam tahun, hukuman Najib akan tamat pada Ogos 2028. Namun, dia berkemungkinan dibebaskan atas kelakuan baik pada Ogos tahun depan selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman yang telah disemak semula.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS