Peguam kepada ahli perniagaan Albert Tei, Mahajoth Singh, memberikan tempoh 48 jam kepada Pemuda PKR (AMK) untuk membuat gesaan berhubung kebertanggungjawaban dan tindakan terhadap isu rasuah melibatkan tokoh berkaitan politik, termasuk kalangan yang ada kaitan dengan kepimpinan parti itu sendiri.
Mahajoth menegaskan jika AMK gagal berbuat demikian, ia membuktikan mereka ‘pengecut’ serta tiada komitmen tulen untuk memerangi rasuah.
Dia juga mencabar Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim untuk menyertai satu perbahasan terbuka mengenai “rasuah, penguatkuasaan terpilih, dan layanan terhadap pemberi maklumat” di negara ini.
“Ini bukan soal peribadi. Ini bukan ‘drama’. Ini soal mengotakan kata-kata.
“Jika AMK benar-benar percaya dengan kata-kata mereka sendiri, maka mereka seharusnya tiada sebarang kesukaran untuk membuktikannya dengan menyahut cabaran-cabaran ini.
“Jika tidak, lebih baik AMK berhenti berceramah tentang integriti dan mengakui bahawa politik adalah keutamaan sebenar mereka, bukannya kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Cabaran terbuka itu dibuat selepas Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin, menafikan dakwaan bahawa sayap PKR itu membisu mengenai rasuah yang dilakukan oleh ahli politik, menyifatkan naratif sedemikian sebagai “malas” dan “berniat jahat”.
Dia berkata demikian sebagai membalas kritikan Mahajoth terhadapnya dan AMK sebelum itu, selepas dia membidas Tei yang mengaku tidak bersalah di mahkamah, dengan menyatakan tindakan itu bercanggah dengan kenyataan ahli perniagaan itu sebelumnya.
Tei dan bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Md Akin masing-masing sedang dibicarakan atas dakwaan memberi dan menerima rasuah melebihi RM240,000.
Sebelum didakwa di mahkamah, Tei memberitahu Malaysiakini bahawa dia telah menghabiskan lebih RM620,000 untuk Shamsul selepas diberi jaminan bahawa pemimpin PKR itu boleh membantu mendapatkan semula wang yang didakwa diberikannya kepada ahli politik di Sabah.
Hari ini, Mahajoth turut menyenaraikan kes-kes yang melibatkan “tokoh berkuasa” yang didakwanya gagal ditegur atau dibangkitkan oleh AMK.
Secara khusus, dia menyebut keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pertuduhan rasuah berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
“Kes prima facie telah dibuktikan dan perbicaraan telah berjalan selama beberapa bulan sebelum pertuduhan ditarik balik, lalu membawa kepada DNAA. Adakah AMK bersuara secara tegas dan berkesan?
“Hingga hari ini, walaupun terdapat janji dan tuntutan awam, tiada pertuduhan baru dikenakan terhadap Zahid.
“Buat pertama kali dalam sejarah negara, seseorang yang berdepan sejumlah besar pertuduhan rasuah dilantik sebagai timbalan perdana menteri… adakah AMK bersuara?” soal Mahajoth.
‘Di manakah kemarahan?’
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan keputusan memohon DNAA pada 2023 dalam kes Zahid selaras dengan undang-undang, sambil menyatakan ia dibuat berdasarkan keadaan semasa ketika itu, termasuk keperluan untuk siasatan lanjut dilaksanakan.
Mahajoth turut mendakwa AMK berdiam diri apabila AGC memutuskan untuk tidak merayu pembebasan Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Malah, ia bukan sekadar soal AMK bersuara mengenai rasuah — bila pula mereka bersuara mengenai isu kepentingan awam?
“Di manakah kenyataan media atau bantahan awam yang menuntut tindakan? Di manakah kemarahan? Di manakah kejelasan moral yang dilaung-laungkan?
“Adalah memalukan apabila sayap pemuda sebuah parti yang kononnya berteraskan reformasi gagal bersuara dan berjuang mempertahankan nilai ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.
Peguam itu juga membangkitkan isu pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru, kes serangan terhadap pemandu e-hailing pekak Ong Ing Keong, serta kontroversi pemain warisan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
