Seramai 12 penduduk Orang Asli di Kampung Tanam, Pahang, ditahan polis awal hari ini selepas didakwa menghalang sebuah syarikat swasta daripada memasuki kawasan kampung mereka.
Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Suku Kaum Jakun Pahang, Jaidi Musa, penduduk kampung itu cuba menghalang sebuah jentera pengorek (backhoe) yang dipercayai milik syarikat berkenaan daripada membersihkan tanah bagi pembinaan jalan baharu.
Bercakap kepada Malaysiakini, Jaidi berkata penduduk juga berusaha menghalang “orang luar” daripada menceroboh kebun masyarakat setempat kerana bimbang hasil tanaman di situ akan diambil oleh pihak asing.

Dia mendakwa kejadian hari ini merupakan insiden kedua melibatkan penduduk dan syarikat tersebut, yang menurutnya telah membuat laporan polis terhadap penduduk kampung.
Tanah yang dipertikaikan itu, tambahnya, merupakan sebahagian daripada kes mahkamah yang sedang berjalan dan dijangka disebut bulan depan.
“Walaupun tanah ini sudah menjadi sebahagian daripada kes mahkamah, orang luar masih cuba menceroboh kawasan penduduk kampung, menyebabkan ramai dalam kalangan mereka berasa tidak puas hati,” kata Jaidi, yang juga bendahari Jaringan Kampung Orang Asli Pahang.
Berdasarkan rakaman visual yang dikongsi dengan Malaysiakini mengenai kejadian hari ini, sekumpulan lelaki Orang Asli dilihat dibawa masuk ke dalam sebuah trak polis di bawah kawalan beberapa anggota beruniform.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Sharif Shai Mondoi berkata 12 individu itu ditahan selepas seorang wakil syarikat membuat laporan polis dengan mendakwa tanah milik syarikat diceroboh.
Dalam kenyataan hari ini, Sharif berkata mereka yang ditahan, yang berusia antara 20 hingga 44 tahun, disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM3,000, atau kedua-duanya sekali.
“Mengikut surat perintah Mahkamah Tinggi Kuantan yang dikeluarkan pada 15 Oktober 2025, pihak Orang Asli Kampung Tanam telah diarahkan untuk mengosongkan tanah tersebut dan memberikan milikan tanah kepada pihak syarikat.
“Pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin Pahang tidak akan berkompromi dengan aktiviti pencerobohan tanah yang mempunyai pemilikan sah, sama ada milik individu atau Syarikat.
“Mana-mana pihak perlu mempunyai geran pemilikan yang sah untuk mengusahakan tanah,” katanya.
