Seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat laporan polis, mendakwa dia dikenakan pertukaran sebanyak dua kali dalam tempoh kurang dua bulan sebagai hukuman ekoran dikaitkan dengan penularan dakwaan salah laku pegawai atasan.
Menurut maklumat yang diperoleh Malaysiakini, laporan polis tersebut dibuat pada 18 Disember lalu di Balai Polis Satok, Kuching, dipercayai berkaitan dengan penularan dokumen yang mengaitkan kepimpinan tinggi jabatan itu dengan dakwaan salah guna kuasa.
Menurut laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pegawai berkenaan mendakwa dia dikenakan "punitive transfer" tanpa alasan munasabah dan tanpa proses siasatan dalaman yang adil.
Dia mendakwa, pada 23 Oktober lalu, dia ditukar secara serta-merta dari JKDM Selangor ke JKDM Sarawak, langkah yang disifatkan luar kebiasaan bagi pegawai pada kedudukannya.
Pada 17 Disember lalu pula, dakwanya lagi, dia sekali lagi dipindahkan tanpa penjelasan rasmi, kali ini dari Bahagian Pematuhan JKDM Sarawak ke Bahagian Cukai Dalam Negeri.
Dia juga mendakwa yang dia dimaklumkan oleh seorang pegawai tinggi JKDM Sarawak bahawa arahan pertukaran tersebut datang terus daripada seorang pegawai tertinggi JKDM di Putrajaya.

Ketika itu, dakwanya lagi, alasan yang diberikan adalah dia disyaki menjadi dalang penyebaran emel atau surat layang yang mengaitkan pegawai tertinggi JKDM tersebut dengan seorang pemimpin parti politik kerajaan di Semananjung.
Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Kuching Alexan Naga Chabu mengesahkan menerima laporan tersebut.
"Ya, saya mengesahkan," katanya.
Pengadu turut membuat laporan di Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Satu notis rasmi EAIC yang dilihat Malaysiakini mendapati aduan yang dibuat berkaitan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan JKDM.
Difahamkan EAIC sedang menyiasat kes itu atas dakwaan salah laku dan salah guna kuasa.
Malaysiakini telah menghubungi EAIC untuk maklum balas berkenaan perkara ini.
