Graduan perubatan dibenarkan menggunakan gelaran akademik "Dr", namun penggunaan itu tidak memberi hak secara automatik untuk mereka menjalankan amalan perubatan, kata Majlis Perubatan Malaysia (MPM)
Presiden MPM Mahathar Abd Wahab berkata, gelaran itu merupakan tanda kelayakan akademik bagi individu yang menamatkan pengajian perubatan, walaupun belum berdaftar sebagai pengamal perubatan dengan mereka.
"MPM juga ingin menarik perhatian bahawa gelaran 'Dr' tersebut juga bukan eksklusif kepada pengamal perubatan sahaja.
"Gelaran ini turut digunakan oleh doktor pergigian, doktor veterinar serta pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang akademik," katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, badan kawal selia itu menegaskan bahawa kebenaran untuk mengamalkan perubatan tertakluk sepenuhnya kepada pematuhan bawah Akta Perubatan 1971 dan peraturan-peraturan berkaitan.
Katanya, bagi graduan yang memperoleh kelayakan daripada program yang tidak tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, pendaftaran mereka tertakluk kepada syarat tambahan.
Syarat itu, tambahnya, termasuk lulus peperiksaan khas serta menjalani latihan siswazah di hospital yang diiktiraf di Malaysia.
"Sebagai prinsip umum, semua individu yang ingin mengamal perubatan di Malaysia hendaklah berdaftar dengan MPM dan memegang sijil Perakuan Amalan Tahunan (PAT) yang sah sebelum menjalankan sebarang bentuk amalan perubatan," tegasnya lagi.
MPM turut menggalakkan orang awam untuk membuat semakan status pendaftaran mana-mana pengamal perubatan melalui sistem Sistem Maklumat dan Teknikal Daftar Perubatan (MeRITS) di pautan https://merits.mmc.gov.my.
Katanya, sebarang aduan berkaitan kemungkinan penyamaran atau salah guna gelaran boleh disalurkan terus kepada pihak MPM bagi memastikan keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan kesihatan terjaga.
