Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyuarakan rasa hairan susulan tindakan satu pihak menyerahkan nama calon menteri besar ketika pergolakan pentadbiran kerajaan Perlis masih berlangsung.
Walaupun tidak menamakan mana-mana parti, Ahmad Fadhli dipercayai menyindir Bersatu, yang dilaporkan mengambil langkah berkenaan.
Pada masa sama, Ahmad Fadhli mengucapkan terima kasih kepada PH Perlis atas sokongan supaya PAS terus mentadbir negeri itu sehingga tamat penggal.
“Terima kasih PH Perlis. Hairannya ada pihak yang serah nama walaupun minoriti,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, media melaporkan politik Perlis bergolak susulan dakwaan wujud usaha menyingkirkan Menteri Besar Shukri Ramli.
Beberapa laporan memetik sumber mendakwa lima Adun Bersatu dan tiga Adun PAS telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Shukri.
Bersatu serah tiga nama calon MB
Lapan Adun terbabit membentuk majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang mempunyai 15 kerusi.
Media hari ini turut melaporkan Bersatu menyerahkan tiga nama Adunnya sebagai calon menteri besar.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi PN Perlis Shahidan Kassim dilaporkan berkata pimpinan tertinggi PAS akan mengadakan perbincangan berhubung perkara itu hari ini.

Menurut Shahidan, isu berkenaan ditangani dengan baik dan apa yang berlaku tidak wajar dianggap sebagai krisis.
“Saya melihat ia bukanlah krisis, apa yang berlaku ini (cuma) perbezaan pendapat,” katanya.
