Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parti Hijau tuntut S'gor beli balik tanah hutan Ayer Hitam

Parti Hijau menggesa Kerajaan Selangor membeli semula kawasan hutan Ayer Hitam seluas kira-kira 160 ekar tanah di Puchong yang kini berada di bawah pemilikan pihak swasta.

Setiausaha agung penaja parti itu, Abdul Razak Ismail berkata langkah berkenaan bagi membolehkan kawasan tersebut diwartakan semula sebagai Hutan Simpan Kekal demi kesejahteraan penduduk setempat serta pemeliharaan alam sekitar.

“Lot pertama seluas 19.16 ekar yang asalnya milik Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) telah dijual pada 21 September 2012 dengan nilai RM11.5 juta. Manakala lot kedua seluas 128.34 ekar milik Menteri Besar Incorporated (MBI) pula dijual pada 5 Ogos 2019 dengan harga RM81.1 juta.

“Secara keseluruhannya, tanah berkeluasan sekitar ...(169 ekar) ini telah dijual dengan nilai berjumlah RM92.6 juta.

“Kami menggesa kerajaan negeri menggunakan kuasa yang ada untuk membeli balik tanah ini daripada syarikat swasta tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor didesak mendedahkan kronologi sejarah tanah seluas 169 ekar berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, Puchong yang dilaporkan berpotensi dimajukan.

Ahli parlimen PKR mewakili Subang, Wong Chen turut menuntut supaya harga transaksi tanah tersebut didedahkan, susulan kebimbangan terhadap “kos pengambilalihan yang mungkin ditanggung oleh pembayar cukai”.

Bagaimanapun, kerajaan Selangor menjelaskan tanah seluas kira-kira 169 ekar berhampiran Rizab Hutan Ayer Hitam itu telah lama tidak berstatus Hutan Simpanan Kekal, iaitu sejak 99 tahun lalu.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata semakan bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mendapati kawasan berkenaan telah dinyahwarta seawal 1926.

“Hasil semakan mendapati kawasan tersebut bukan lagi merupakan Hutan Simpanan Kekal. Berdasarkan rekod pewartaan, kawasan berkenaan pada asalnya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Ayer Itam yang diwartakan pada 1906.

“Bagaimanapun, pada 1926 kawasan tersebut telah dinyahwarta kepada Tanah Kerajaan dan seterusnya diberi milik,” katanya pada satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak menegaskan isu berkenaan melangkaui soal transaksi hartanah dan menyentuh kepentingan ekologi serta kualiti hidup komuniti setempat.

“Penduduk setempat amat bimbang dengan kehilangan kawasan hijau ini. Kerajaan Selangor harus bertindak segera untuk mengambil semula tanah tersebut dan mewartakannya semula sebagai Hutan Simpan Kekal.

“Jangan biarkan paru-paru hijau terakhir di kawasan ini lenyap demi pembangunan komersial,” katanya kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS