Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Agong berkuasa beri pengampunan di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan'
Diterbitkan:  Dec 24, 2025 9:10 PM
Dikemaskini: 1:10 PM

Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kuasanya di mana-mana sahaja termasuk dalam memberi pengampunan di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Veteran Umno itu berhujah, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa hanya di tempat tertentu.

“Perkara 42 perlembagaan jelas (mengenai) kuasa Yang di-Pertuan, ia tak kata di dalam kereta ke, di anjung istana ke, tak ada sebut, di mana-mana pun Yang di-Pertuan Agong berkuasa,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya berhubung alasan penghakiman oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Alice Wong yang menolak semakan kehakiman Najib Razak baru-baru ini yang memutuskan titah adendum Yang di-Pertuan Agong mengenai penahanan di rumah itu tidak sah di sisi undang-undang.

Antara alasan yang dibankitkan berhubung titah adendum itu dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Tengku Razaleigh berkata dia ada mendengar pandangan pelbagai pihak namun menurutnya hanya ada satu tafsiran sahaja terhadap perlembagaan.

“Tidak ada dua tafsiran, hanya ada satu tafsiran ke atas perlembagaan kita atas apa-apa perkara sekali pun, kita akui Yang di-Pertuan Agong nombor satu dalam negara, dan dibekalkan kuasa boleh mengampunkan, tidak orang lain.

“Sultan boleh (ampunkan) di peringkatnya tetapi tidak di peringkat persekutuan. Kalaulah ditafsir selain daripada apa yang dimaksudkan perlembagaan maka itu tak betul.

“Kalau kata mahkamah lebih tinggi daripada kuasa agong saya rasa itu dah tak betullah. Barang kali tak betul di sini (akal),” pada sidang media bekas ahli Parlimen Gua Musang yang juga dikenali sebagai Ku Li.

Tambahnya, Malaysia sudah menerima sistem raja berpelembagaan yang berbeza daripada negara-negara lain.

“Negara kita unik tidak seperti di England, Denmark atau di mana-mana, kita ini berbeza. Itu semua menjamin bahawa kedaulatan itu disanjung.

“Jadi saya rasa tak ada sebab mengapa nak ditafsirkan lain daripada apa yang ada dalam perlembagaan kita.

“Tiada siapa yang mengatasi Yang di-Pertuan Agong dan kita wajib mempertahankannya terutamanya mereka yang mengangkat sumpah sebagai menteri, hakim dan pentadbir. Jadi kena hormati sumpah itu, ia tak lari daripada apa yang dimaksudkan perlembagaan,” kata Ku Li.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan semalam menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes bekas perdana menteri itu sama sekali tidak mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri dalam memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah.

AGC memaklumkan Loke, dalam penghakiman lisannya, turut mengiktiraf kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri berkenaan pengampunan.

“Kuasa pengampunan ini tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak lain. Namun, selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan, kuasa tersebut perlu dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat Perlembagaan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS