Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus'ele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga DUN iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas tiga Adunnya terhenti keahlian PAS.

Walaupun tempoh penggal sudah matang iaitu tiga tahun, pihaknya berpendapat terdapat keperluan untuk diadakan pilihan raya kecil (PRK) di ketiga-tiga kerusi berkenaan.

Katanya, status kekosongan kerusi tersebut akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

“Dalam keadaan biasa berdasarkan Fasal (5) Perkara 55 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kekosongan luar jangka tersebut bila mana usia DUN telah mencecah tiga tahun atau lebih.

“Namun pada hemat dan pertimbangan saya berdasarkan perkembangan semasa yang berlaku dalam negeri Perlis, saya berpuas hati bahawa tiga kekosongan luar jangka tersebut dari segi bilangan yang membentuk majoriti semua Adun adalah terjejas.

“Dalam keadaan itu, tiga kekosongan tersebut hendaklah diisi semula bagi kepentingan kestabilan kerajaan untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Pejabat Speaker di Kompleks Seri Putra, Kangar, hari ini.

Malam tadi Malaysiakini melaporkan PAS memaklumkan keahlian tiga ahli Adun Perlis parti itu terhenti berkuat kuasa serta-merta.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (pindaan 2025).

Fasal berkenaan merujuk kepada tindakan yang menyebabkan keanggotaan daripada parti itu terhenti, termasuklah menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Tindakan itu diambil terhadap Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Ia dipercayai susulan pergolakan dihadapi kerajaan Perlis selepas tercetusnya usaha menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar, Shukri Ramli.

Beberapa laporan memetik sumber sebelum ini mendakwa lima Adun Bersatu dan tiga Adun PAS telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Shukri.

Sementara itu Rus’ele berkata, pihaknya akan mengemukakan alasan-alasan mengenai terjejasnya bilangan parti yang membentuk majoriti DUN Perlis kepada SPR.

“Saya akan menggunakan budi bicara yang diperuntukan melalui priviso kepada Fasal (5) Perkara 55 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis untuk memaklumkan kepada SPR bahawa kekuatan dari segi bilangan parti membentuk majoriti semua Adun adalah terjejas.

“Dan akan meminta SPR mengadakan pilihan raya semua bagi mengisi tiga kekosongan luar jangka tersebut.

“Alasan-alasan terjejasnya bilangan parti yang membentuk majoriti bagi DUN Perlis akan saya perincikan dalam pemakluman bertulis kepada SPR,” katanya.

Tambahnya, tempoh tiga tahun usia DUN Perlis bermula dengan mesyuarat pertama DUN pada 19 Dis 2022 dan berakhir pada 18 Dis 2025.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS