Pemuda MCA menyuarakan kebimbangan mengenai kenyataan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) bahawa graduan perubatan boleh menggunakan gelaran “Doktor (Dr)” sebagai penanda akademik walaupun mereka tidak memiliki kelayakan sebagai doktor perubatan.
Setiausaha agungnya, Saw Yee Fung, berkata pendirian sedemikian berisiko mengelirukan orang ramai dan menjejaskan kredibiliti profesion perubatan.
“Gelaran ‘Doktor’ tidak pernah sekadar gelaran kehormatan. Ia adalah simbol identiti profesional yang berasaskan akreditasi, latihan, dan piawaian amalan yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan.
MMC semalam menyatakan tiada sekatan terhadap penggunaan gelaran doktor bagi mereka yang memperoleh ijazah perubatan dari universiti yang tidak diiktiraf, namun mereka tetap tidak dibenarkan mengamalkan perubatan di negara ini.
Kenyataan itu dibuat susulan pertanyaan seorang ahli PAS, Nurul Islam Yusoff, terhadap Menteri Belia dan Sukan yang baru, Taufiq Johari, berhubung penggunaan awalan “Dr” olehnya yang didakwa memperoleh ijazah dari universiti yang tidak diiktiraf di Indonesia.

Saw berkata program perubatan yang tidak diiktiraf bukan sahaja tidak memenuhi piawaian, malah membenarkan graduannya menggunakan gelaran ‘Doktor’ seolah-olah mengiktiraf kedudukan profesional mereka.
“Ini menjejaskan makna sebenar status ‘tidak diiktiraf’,” katanya.
Saw menegaskan bahawa ahli politik dan menteri mempunyai pengaruh besar dan menjadi contoh dan salah urus isu sensitif seperti penggunaan gelaran ‘Doktor’ boleh mengelirukan orang ramai.
“Sebagai pengawal selia profesion perubatan negara, tugas utama MMC ialah menegakkan piawaian profesional dan mengekalkan kredibiliti sistem kesihatan, bukan mengeluarkan kenyataan yang boleh dilihat sebagai melindungi ahli politik,” katanya.
Saw mengingatkan akibat serius jika tiada tindakan diambil, termasuk risiko individu yang tidak layak dan tidak diakreditasi melabel diri mereka sebagai doktor serta terhakisnya profesionalisme bidang perubatan.
Justeru dia menyeru MMC dan kerajaan untuk mengambil serius kebimbangan orang ramai, dengan membezakan gelaran akademik dengan status profesional doktor, serta menetapkan peraturan yang lebih jelas dan ketat untuk mengelak penyalahgunaan gelaran serta enjaga keselamatan awam.
Setakat ini, Taufiq masih belum memberikan respons terhadap kontroversi tersebut walaupun telah beberapa kali diminta mengulas.
Terdapat pihak mengatakan kemungkinan wujud kesalahan jenayah di bawah Akta Perubatan 1971, yang boleh dihukum denda dan penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
