Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada kod merah, Luas keluar 124 kompaun berjumlah RM4.87 juta

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) merekodkan tiada kejadian kod merah melibatkan gangguan bekalan air sepanjang tahun ini susulan pelaksanaan penguatkuasaan berterusan termasuk pengeluaran 124 notis kompaun bernilai RM4.87 juta membabitkan pelbagai kes berkaitan pencemaran.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai LUAS Haslina Amer berkata perkara itu dicapai hasil pemantauan rapi dan tindakan awal yang dilaksanakan secara konsisten bagi melindungi sumber air negeri daripada ancaman pencemaran.

“Kes-kes pencemaran lazimnya berlaku tanpa mengira musim sama ada musim kering atau musim hujan, khususnya di kawasan lembangan sungai yang mempunyai tahap risiko tertentu.

“Risiko ini biasanya berpunca daripada pembukaan tanah yang menyebabkan peningkatan kekeruhan air sungai, aliran permukaan yang membawa sisa pepejal, penggunaan baja dalam sektor perladangan dan pertanian serta pelepasan efluen ke sungai berhampiran,” katanya di Shah Alam hari ini.

Haslina berkata setakat ini pihaknya tidak merekodkan sebarang kes yang melibatkan gangguan terhadap operasi loji rawatan air, hasil kawalan berterusan dan tahap kesiapsiagaan tinggi pasukan LUAS di seluruh negeri.

Beliau berkata pemantauan sepanjang 24 jam membolehkan sebarang pelepasan atau insiden dikesan lebih awal dan dikawal segera sebelum ia berpotensi menjejaskan bekalan air kepada orang ramai.

“Kebanyakan pencemaran yang berlaku di Selangor berpunca daripada sisa tumpahan akibat kemalangan di lebuh raya terutamanya ketika musim perayaan apabila jumlah pergerakan kenderaan meningkat.

“Situasi ini boleh menyebabkan sisa berkenaan memasuki alur berhampiran dan memberi risiko kepada sistem rawatan air, namun tindakan pantas di lapangan membantu mengawal keadaan daripada menjadi lebih serius,” katanya.

Dari segi kawasan titik panas, Haslina mendedahkan jumlah lokasi berisiko tinggi kekal sama tanpa mengira musim kerana kebanyakannya terletak di kawasan hulu sumber air yang memerlukan pemantauan berterusan.

Beliau berkata keutamaan kawalan dan pengawasan difokuskan kepada kawasan perindustrian dan komersial memandangkan kawasan itu mempunyai potensi lebih tinggi untuk berlakunya pelepasan yang boleh menjejaskan kualiti air mentah.

“Lembangan Sungai Langat merekodkan kejadian tertinggi iaitu sekitar 40 peratus, selaras dengan pembangunan pesat yang sedang berlaku di kawasan sekitar Kajang dan Semenyih. Pembukaan kawasan pembangunan baharu di lokasi berkenaan juga meningkatkan tahap risiko pencemaran dan memerlukan pemantauan serta kawalan yang lebih ketat,” katanya.

Pada masa sama, Haslina berkata pihaknya mengesan 28 kes melalui pemantauan menggunakan pelbagai platform 24 jam manakala jumlah keseluruhan termasuk aduan orang awam yang diterima adalah sebanyak 96 kes sepanjang tahun ini.

Beliau berkata aduan berkenaan diterima daripada orang awam melalui aplikasi WhatsApp, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) dan surat rasmi sebelum siasatan dijalankan dengan kerjasama rapat dengan agensi-agensi berkepentingan.

“Ketika ini terdapat kira-kira 30 kertas siasatan yang masih dibuka dan dalam tindakan lanjut di mahkamah dengan perkembangan kes-kes berkenaan dijangka dapat diketahui seawal tahun hadapan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS