PAS menggesa Bersatu mengambil tindakan tegas terhadap lima Adun Perlis dari parti Bersatu yang didakwa menandatangani surat akuan berkanun (SD) untuk menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyorot bahawa PAS telah mengambil tindakan tegas terhadap tiga Adun mereka yang turut “tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah.”
Tuan Ibrahim merujuk kepada Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) yang mengaku menandatangani SD berkenaan.
PAS semalam mengumumkan keanggotaan parti tiga Adun itu terhenti serta-merta dan kerusi mereka dikosongkan.
“Walaupun keputusan ini mungkin membawa risiko terhadap kestabilan kerajaan Perlis, PAS berpandangan bahawa prinsip dan integriti parti mesti diutamakan mengatasi kepentingan jangka pendek.
“Pada masa yang sama, saya berharap, Bersatu turut mengambil tindakan tegas terhadap Adun mereka yang terlibat menandatangani SD sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni di Perlis.
“Tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam PN serta bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara,” kata Tuan Ibrahim.
Berkongsi sentimen sama, Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat Nurul Islam Mohamed Yusoff, berkata Bersatu harus memanggil lima Adun mereka untuk menentukan sama ada mereka telah menandatangani SD tersebut atau tidak.
"Kalau tidak, Bersatu keluarkan kenyataan kadar segera mengatakan semua Adun Bersatu tidak pernah tandatangan SD dan kekal menyokong kepimpinan YAB Cikgu Shukri (menteri besar) dan akan terus pertahankan kerajaan negeri Perlis.
"Namun sekiranya benar lima orang Adun mereka telah tandatangan SD tersebut, seperti mana PAS telah bertindak, Bersatu juga perlu bertindak segera terhadap Adun mereka,” katanya.

Nurul Islam dan Tuan Ibrahim menungkit bahawa Bersatu sebelum ini menggugurkan enam ahli parlimennya dan seorang Adun - yang antara lain menyaksikan Bersatu menulis surat kepada speaker DUN Kelantan untuk mengosongkan kerusi Nenggiri.
"Kenapa dalam kes Perlis ni tak boleh? Tindakan lima Adun Bersatu ini adalah secara jelas cubaan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis.
"Ini satu bentuk sabotaj terhadap Menteri Besar PAS," kata Nurul Islam.
Dia juga menambah bahawa sekiranya Bersatu gagal bertindak terhadap lima Adun berkenaan, ia akan memberikan isyarat yang salah.
"Bersatu akan dilihat merosakkan perpaduan dalam PN. Kelemahan Bersatu dalam mendisiplinkan Ahli dan wakil rakyatnya sudah tentu akan dilihat kelemahan kepimpinan Bersatu," katanya.
