Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Algeria lulus undang-undang isytihar penjajahan Perancis sebagai jenayah
Diterbitkan:  Dec 26, 2025 9:12 AM
Dikemaskini: 1:12 AM

Parlimen Algeria sebulat suara meluluskan satu undang-undang yang mengisytiharkan penjajahan Perancis ke atas negara itu dari 1830 hingga 1962 sebagai satu jenayah, serta menuntut permohonan maaf rasmi dan pampasan, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Negara Algeria, APS.

Undang-undang yang mengandungi 27 artikel itu, diluluskan pada Rabu, menetapkan tanggungjawab undang-undang negara Perancis terhadap sejarah penjajahannya.

Ia menggariskan mekanisme untuk mendapatkan pengiktirafan rasmi dan permohonan maaf atas jenayah era penjajahan sebagai prasyarat kepada perdamaian sejarah.

Penggubalan undang-undang itu menyenaraikan kesalahan termasuk ujian nuklear, pembunuhan tanpa perbicaraan, penyeksaan dan “penjarahan sumber secara sistematik,” di samping menegaskan hak Algeria untuk menerima “pampasan penuh dan adil” bagi semua kerosakan material dan moral.

Setakat ini, Perancis belum mengulas mengenai undian itu.

Undang-undang itu digubal pada Mei oleh suruhanjaya parlimen yang dibentuk pada Mac, mewakili kumpulan politik utama Algeria. Pada ketika itu, Speaker Dewan Rakyat Algeria Brahim Boughali, menyifatkan penggubalan undang-undang berkenaan sebagai satu “tanggungjawab moral dan sejarah” untuk menghormati pengorbanan rakyat Algeria dan menuntut kebenaran.

Walaupun seruan terhadap undang-undang seumpama itu bermula sejak 1984, percubaan terdahulu - termasuk cadangan pada 2001 - berdepan kelewatan berulang kali. Isu itu kembali timbul pada 2005 susulan undang-undang kontroversi Perancis yang mewajibkan sekolah mengajar “peranan positif” penjajahan. Menjelang 2021, lebih 100 ahli parlimen Algeria menyokong satu rang undang-undang untuk menyekat perjanjian dengan Perancis sehingga negara itu mengakui jenayah penjajahannya.

Ahli parlimen, sejarawan dan pakar undang-undang sejak sekian lama menegaskan keperluan permohonan maaf rasmi bagi kekejaman tertentu, seperti Pembunuhan Beramai-ramai Dahra pada 1845, apabila tentera Perancis membunuh ratusan rakyat Algeria dengan melemaskan mereka dengan asap untuk memaksa mereka keluar dari gua yang menjadi tempat perlindungan mereka. Mereka juga menyebut mengenai ujian nuklear di Sahara yang menyebabkan penduduk tempatan terdedah kepada radiasi serius, dengan ramai rakyat Algeria masih mengalami kesan kesihatan akibat daripada peristiwa itu sehingga hari ini.

Hubungan diplomatik antara Algiers dan Paris semakin tegang dalam beberapa bulan kebelakangan ini, akibat pertikaian berkaitan imigresen, rungutan sejarah, serta sokongan Perancis terhadap Maghribi berhubung Sahara Barat. Presiden Algeria Abdelmadjid Tebboune, menegaskan yang rundingan langsung dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, merupakan satu-satunya jalan untuk menyelesaikan isu dua hala itu.

Pada 2021, Macron mengakui yang penjajahan Algeria adalah “jenayah terhadap kemanusiaan,” namun beliau tidak menawarkan permohonan maaf rasmi bagi pihak negaranya.

- Bernama-Xinhua


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS