Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: PAS sanggup buat pilihan raya negeri di Perlis bila-bila masa
Diterbitkan:  Dec 26, 2025 1:03 PM
Dikemaskini: 6:40 AM
1

PAS menegaskan parti itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya negeri (PRN) di Perlis, kata presidennya, Abdul Hadi Awang.

“Kita bersedia untuk PRK. Sebab sekarang ini tiga Adun (PAS) dah gugur, nak tubuh kerajaan macam mana? Perlis ini 15 kerusi sahaja, PAS ada enam, Bersatu pula ada 5, kalau nak tubuh kerajaan nak tubuh macam mana?

“Jadi, nak buat PRK kita bersedia, nak buat PRN pun kita bersedia,” katanya dalam sidang media di Marang, Terengganu, hari ini.

Menurut Abdul Hadi, parti itu telah melalui pelbagai pengalaman politik sebelum ini, termasuk kejatuhan kerajaan negeri akibat undi tidak percaya dan tindakan wakil rakyat berpaling tadah, namun PAS kekal berpegang kepada prinsip kesetiaan dan disiplin parti.

“Kita pernah mengalami situasi sebegini di negeri-negeri sebelum ini. Berlaku undi tidak percaya, wakil rakyat dibeli, dan macam-macam lagi. Itu semua ujian,” katanya.

Terdahulu, politik di Perlis bergolak selepas wujud usaha menyingkirkan Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar.

Seramai lapan Adun, masing-masing tiga daripada PAS dan lima daripada Bersatu dikatakan menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menarik balik sokongan Mohd Shukri.

PAS semalam memaklumkan keahlian tiga Adun Perlis itu terhenti berkuat kuasa serta-merta.

Mereka ialah Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Susulan daripada itu, speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga DUN berkenaan.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata PAS telah mengemukakan nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Perlis bagi menggantikan Mohd Shukri yang melepaskan jawatan itu, semalam.

Abdul Hadi berkata parti itu mengemukakan nama di antara enam Adunnya bagi mendapatkan perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, lapor Utusan Malaysia

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon berkenaan buat masa ini.

“PAS ada enam Adun dan kami telah mengemukakan senarai calon difikirkan layak,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Bersatu turut menyerahkan tiga nama sebagai calon menteri besar iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).

‘Meminta jawatan tanda masalah akhlak’

Berhubung soal kesetiaan wakil rakyat, Abdul Hadi menekankan PAS mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli yang melanggar disiplin parti, termasuk menghentikan keahlian dan sokongan politik, selaras dengan perlembagaan parti dan undang-undang negeri.

Dia turut mengingatkan bahawa jawatan dan kuasa tidak seharusnya dikejar demi kepentingan peribadi, sambil menegaskan bahawa dalam Islam, meminta-minta jawatan adalah sesuatu yang ditegah.

“Jawatan bukan untuk diminta. Kalau seseorang minta jawatan, itu tanda ada masalah akhlak. Kita kena serahkan kepada yang layak,” katanya.

Merujuk kepada hubungan dengan Bersatu, Abdul Hadi berkata PAS tidak akan menghukum parti sekutu secara keseluruhan hanya kerana tindakan segelintir individu.

“Kita tidak boleh hukum satu parti kerana kesalahan beberapa orang. Dalam Bersatu ada pelbagai latar belakang. Kita harap ada tindakan sewajarnya, tetapi itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Mengulas keyakinan PAS terhadap sokongan rakyat di Perlis, Abdul Hadi berkata parti itu kekal optimis dan percaya rakyat dapat menilai secara adil.

“Kalau turun ke medan pilihan raya, kita yakin rakyat boleh buat penilaian,” katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS