Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayer gesa kerajaan protes insiden keganasan agama di Bangladesh
Diterbitkan:  Dec 26, 2025 2:13 PM
Dikemaskini: 8:21 AM
1

Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) RSN Rayer menggesa kerajaan Malaysia mengemukakan protes keras kepada Kedutaan Bangladesh susulan laporan mengenai seorang lelaki Hindu dibakar hidup-hidup di negara itu. 

Rayer turut mendesak kerajaan Malaysia mendapatkan jaminan daripada pihak berkuasa Bangladesh agar pelaku jenayah dihadapkan ke muka pengadilan serta memastikan masyarakat minoriti dilindungi daripada sebarang kekejaman pada masa hadapan.

"Malaysia mesti berdiri teguh demi hak asasi manusia dan menentang segala bentuk penganiayaan agama, di mana sahaja ia berlaku," katanya.

Terdahulu, pekerja kilang Dipu Chandra Das, 27, dilapor dipukul dan dibakar di daerah Mymensingh, Bangladesh pada minggu lalu susulan dakwaan dia menghina Nabi. 

Insiden itu memburukkan lagi ketegangan antara India yang majoriti penduduknya beragama Hindu dengan jirannya yang majoriti Muslim.

Dia yang juga anggota parlimen Jelutong menyifatkan insiden itu sebagai pencabulan hak asasi manusia yang amat membimbangkan dan tidak boleh diterima sama sekali. 

"Tiada individu harus menjadi sasaran keganasan kerana identiti agama mereka. Hak dan keselamatan golongan minoriti mesti dilindungi pada setiap masa," tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Antara demo membantah keganasan itu

Selain isu di Bangladesh, dia turut mengecam serangan terhadap penganut Kristian yang sedang menyambut perayaan Krismas di India.

Dia menegaskan bahawa kebebasan beragama adalah hak asasi yang perlu dipertahankan tanpa sebarang gangguan atau ketakutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS