Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hakim: Ada ikatan ‘tak dapat disangkal’ antara Najib-Jho Low
Diterbitkan:  Dec 26, 2025 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Hakim dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM2.3 bilion menyimpulkan bahawa wujud ikatan yang ‘tidak dapat disangkal’ antara bekas perdana menteri itu dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, seperti dibuktikan melalui keterangan beberapa saksi sepanjang perbicaraan.

Keputusan itu disampaikan oleh Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi dan kini, merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, sewaktu membacakan penghakiman dalam kes berprofil tinggi yang dinantikan ramai itu.

Hakim Sequerah menegaskan bahawa saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, memberi keterangan bahawa Jho Low bertindak sebagai pengatur projek-projek 1MDB bagi pihak Najib.

“Seorang lagi saksi, iaitu saksi pendakwaan ke-15, bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberi keterangan bahawa Jho Low bertindak sebagai penghubung antara lembaga pengarah dan tertuduh, dengan pihak pengurusan menerima arahan di luar lembaga,” kata hakim itu.

Collin Lawrence Sequerah

Hakim itu menambah pihak pendakwaan mengemukakan keterangan meyakinkan yang menunjukkan Jho Low mengurus hal ehwal bekas perdana menteri berhubung 1MDB serta turut menyelia akaun bank peribadinya di AmBank.

“Beberapa saksi menggambarkan sifat hubungan antara tertuduh dan Jho Low berkaitan urusan 1MDB, dengan kebanyakannya berinteraksi secara langsung dengannya. Apabila dinilai secara keseluruhan, keterangan-keterangan ini menzahirkan ikatan yang tidak dapat disangkal antara tertuduh dan Jho Low,” katanya.

Hakim Sequerah turut menyatakan bahawa beberapa individu, termasuk Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil (seorang lagi bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB) tidak dapat dikesan, dan dengan itu sepina tidak dapat disampaikan.

Hakim itu juga menolak dakwaan Najib bahawa beliau telah diperdaya oleh pihak pengurusan 1MDB, dengan menyatakan bahawa beliau menyedari sepenuhnya urusan syarikat itu dan bukannya seorang yang jahil, memandangkan beliau ketika itu adalah perdana menteri, menteri kewangan serta pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Hakim Sequerah menegaskan bahawa hujahan bahawa Najib hanya menumpukan perhatian kepada pengurusan negara adalah tidak benar, dengan berkata beliau telah mengarahkan Jho Low mengiringi bekas pembantunya Datuk Amhari Effendi Nazaruddin, dalam lawatan ke Abu Dhabi dan China.

“Kesimpulan yang munasabah ialah Jho Low bertindak sebagai proksi, penghubung dan ejen kepada Najib. Hujahan pihak pembelaan bahawa Najib telah diperdaya oleh pengurusan 1MDB adalah tidak bermerit,” katanya.

Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, bekas Perdana Menteri itu didakwa melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS