Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azam hargai penyiasat 1MDB, meski SPRM pernah kata 'derma'
Diterbitkan:  Dec 26, 2025 5:30 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam merakamkan penghargaan tertinggi kepada pasukan penyiasat dan pendakwaan yang berjaya menuntaskan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penghargaan itu diberikan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang diselewengkan, sekali gus menandakan berakhirnya siasatan panjang sejak 2015.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pegawai penyiasat serta pasukan pendakwaan yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak awal siasatan 1MDB dimulakan pada Julai 2015 sehingga sampai pada penyelesaiannya, dengan pengumuman keputusan penghakiman kes ini.

"Penghargaan ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan ketekunan luar biasa para pegawai penyiasat, khususnya dalam mendapatkan keterangan dan bukti sama ada dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

"Siasatan ini berdepan dengan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa, namun pasukan penyiasat kekal beriltizam untuk memenuhi piawaian perundangan yang ketat bagi membolehkan kes ini dibawa dan dibicarakan di mahkamah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam juga merakamkan penghargaan ikhlas kepada semua pihak yang memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan ini, khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kerjasama rakan-rakan penguat kuasa luar negara amat penting dalam proses yang kompleks dan mencabar untuk mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme bantuan perundangan bersama," katanya.

Antara agensi yang memberikan bantuan dari segi pengesanan, pengumpulan dan pengesahan bukti ialah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa (IACCC) United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura, serta pihak berkuasa berkaitan dari Belanda dan Barbados.

Kenyataan SPRM hari ini bernada berbeza berbanding fasa awal siasatan pada tahun 2015.

Sekitar Ogos 2015, SPRM yang ketika itu bawah kepimpinan Abu Kassim Mohamed berkata bahawa dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib adalah sumbangan penderma.

"Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik Najib adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB," kata SPRM ketika itu.

Azam yang ketika itu pengarah siasatan berkata SPRM telah menghantar pasukan ke Timur Tengah untuk bertemu dengan individu yang didakwa menyalurkan RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib.

Mahkamah hari ini menolak surat derma Arab yang dikemukakan pasukan pembelaan bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbicaraan 1MDB, dan menegaskan dokumen itu sebagai palsu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata pengisahan Najib sendiri berkaitan dana itu sebagai derma Arab menjadikannya tidak munasabah dan merupakan naratif yang tiada merit. 

Pembelaan itu, kata hakim tidak boleh dipercayai dan gagal menangkis anggapan suapan bawah Seksyen 23 Akta SPRM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS