Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat Najib: 'Saya akan teruskan bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip'
Diterbitkan:  Dec 26, 2025 11:19 PM
Dikemaskini: 3:35 PM

Selepas tujuh tahun perbicaraan skandal kewangan paling terkenal di Malaysia, bekas perdana menteri Najib Razak hari ini dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di Putrajaya atas setiap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasanya dalam kes 1MDB, dan lima tahun bagi setiap 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Collin Lawrence Sequerah, menjatuhkan hukuman tersebut sebelum mengeluarkan teguran tajam terhadap Najib - dalam prosiding kes yang pada mulanya disifatkan sebagai pemindahan dana yang tidak teratur dan berkembang menjadi skandal global yang akhirnya menyebabkan Najib kehilangan jawatan dan dominasi politiknya.

Peguam bela utama Najib, Shafee Abdullah mengumumkan bahawa mereka akan memfailkan rayuan pada Isnin, terhadap sabitan bekas Ahli Parlimen Pekan itu atas 25 pertuduhan, dan dia berharap dapat membentangkan kes itu di hadapan Mahkamah Rayuan, dengan memetik pelbagai "kesilapan" dalam keputusan yang disampaikan oleh hakim.

Pada sidang media yang sama selepas hukuman dijatuhkan, Shafee turut membacakan surat yang ditulis oleh Najib.

Malaysiakini menerbitkan semula surat itu seperti di bawah:


Saudara dan saudari yang saya hormati,

Saya menulis ini dengan fikiran yang tenang, meskipun hati saya berat.

Ada ketika saya merasakan seolah-olah perjuangan ini harus saya pikul sendirian. Namun saya tetap bertekad untuk meneruskannya — bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip.

Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan. Niat saya tidak pernah berubah: untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Perjuangan ini bukan usaha untuk mengelak daripada tanggungjawab. Ia adalah ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan, dan mempertahankan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah, dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar. Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara.

Sehubungan itu, saya memohon semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah, serta tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan. Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.

Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang kita junjung bersama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS