Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | The Housemaid bukan sekadar tentang selingkuh, cemburu

Tulisan ini mengandungi spoiler filem The Housemaid.

ULASAN FILEM | Dalam sesebuah filem, plot twist yang benar-benar berkesan bukan sekadar mengejutkan, tetapi mampu mengubah sudut pandang penonton dalam memahami keseluruhan cerita. 

Filem The Housemaid memahami peranan ini apabila pengarah, Paul Feig membina keyakinan palsu dalam diri penonton agar percaya yang mereka tahu ke mana cerita ini akan berjalan sehingga watak mana yang patut disokong dan dibenci.

Pada mulanya, The Housemaid tampak bergerak di laluan yang mudah dibaca, namun di situlah muslihat bermula apabila jangkaan penonton dibina hanya untuk dipatahkan pada saat paling tidak disangka. 

Penonton diyakinkan bahawa cerita ini hanyalah tentang perselingkuhan, cemburu dan konflik rumah tangga antara pembantu rumah dan majikan. Namun ketika keyakinan itu mencapai kemuncaknya, plotnya membelok tajam seperti gerakan gelecek yang memperdayakan lawan.

Pada permulaan, penonton pasti percaya bahawa Millie Calloway ialah pusat cerita dan protagonis utama. Segala sudut pandang, emosi dan konflik dibingkaikan melalui perspektif wataknya. 

Namun, semakin cerita berkembang dan kebenaran mula terbongkar, arah cerita berpusing dengan begitu drastik sehingga segala andaian awal runtuh satu demi satu. Di sinilah kekuatan false protagonist dimainkan dengan cermat, apabila watak yang disangka pusat naratif rupa-rupanya hanyalah umpan untuk membawa penonton ke pendedahan misteri yang lebih besar dan  gelap.

Kekuatan plot twist inilah yang menyelamatkan filem ini daripada menjadi sebuah thriller biasa. Tanpanya, The Housemaid mungkin tenggelam dalam pengulangan tema perselingkuhan yang sering dipaparkan. 

Perubahan arah di pertengahan membangkitkan semula minat penonton dan mengangkat semula emosi yang hampir mati. Ia mengubah rasa jengkel penonton menjadi teruja, dan kebosanan menjadi kagum pada penamat cerita.

Filem ini merupakan adaptasi daripada novel oleh Freida McFadden,  karya yang telah mendapat tempat dalam senarai buku paling laris di peringkat antarabangsa. Ia mengisahkan Millie Calloway, seorang wanita dengan masa lampau yang bermasalah, menerima tawaran bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman mewah keluarga Winchester. 

Di sebalik kemewahan rumah itu, tersimpan rahsia yang perlahan-lahan meresap masuk ke dalam kehidupan Millie dan tanpa disedari penonton, setiap detik awal inilah yang menjadi tapak kepada apa yang mengubah keseluruhan makna cerita.

The Housemaid menunjukkan plot twist bukan sekadar hiasan, tetapi tulang belakang cerita yang mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Apabila ia lahir daripada struktur yang kukuh dan bukan sekadar kejutan kosong, ia bukan sahaja mengejutkan penonton, malah menjadikan The Housemaid sebuah thriller psikologi yang berjaya mengikat penonton lama selepas layar menjadi gelap, bukan dalam panggung tetapi dalam fikiran mereka. 

The Housemaid bukanlah sempurna tetapi ia filem yang tahu bila dan bagaimana untuk berpusing, dan di situlah kekuatannya benar-benar membuatkan penonton terpukau.

Barisan pelakon The Housemaid turut menjadi nadi utama yang menghidupkan elemen thriller psikologi yang mencengkam emosi penonton. Sydney Sweeney sebagai Millie tampil meyakinkan, membuatkan penonton terperangkap antara rasa simpati dan kemarahan yang meluap. Amanda Seyfried pula menyerlah sebagai Nina Winchester, yang sejak awal digambarkan seolah-olah seorang wanita “gila”.

Brandon Sklenar sebagai Andrew serta Michele Morrone sebagai Enzo melengkapkan naratif dengan watak yang sentiasa menimbulkan tanda tanya, lalu menjadikan suasana semakin tegang dan sarat dengan misteri. 

Gabungan lakonan ini membina suasana tegang yang konsisten, menjadikan emosi penonton turun naik seperti menaiki roller coaster, antara marah, tidak selesa dan pada akhirnya puas.

The Housemaid kini sedang ditayangkan di pawagam dan sesuai ditonton oleh peminat genre thriller yang gemarkan cerita penuh misteri dan rasa ngeri yang membuatkan bulu roma meremang. 

Ia jelas bermain dengan emosi penonton secara senyap dengan membina ketegangan sedikit demi sedikit sebelum melepaskan kejutan yang luar dari jangkaan. 


PUTERI NORDAHLILAH AZMI adalah wartawan praktikal di Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirianMalaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS