Keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap bekas perdana menteri Najib Razak atas penyelewengan dana 1MDB membawa seorang pembocor maklumat kembali mengimbau kenangan emosional lalu.
Xavier Andre Justo, bekas eksekutif PetroSaudi yang pernah menjalani hukuman penjara selepas membocorkan skandal berkenaan, menulis satu hantaran di Facebook malam tadi yang menyifatkan keputusan itu sebagai bukti bahawa “keadilan itu penting”.
“Kes ini selama bertahun-tahun menjadi lambang segala yang salah apabila kuasa, wang dan rasuah bergabung.
“Ia merupakan satu ujian terhadap institusi dan individu, serta terhadap ideal akauntabiliti itu sendiri. Sama sekali tidak pasti bahawa keputusan adil akan dicapai.

“Saya amat berterima kasih atas keadilan, kebebasan dan keberanian para hakim dan pendakwa Malaysia dalam kes ini.
“Usaha mereka menghantar mesej jelas: tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang, tanpa mengira kuasa yang pernah dimiliki pada masa lalu,” katanya.
Justo merupakan bekas pengarah PetroSaudi yang bertanggungjawab membocorkan lebih 200,000 komunikasi emel syarikat itu, antara lain pada 2015 yang mencetuskan siasatan pelbagai negara terhadap 1MDB — syarikat pelaburan negara yang diasaskan oleh Najib.
Wargan Switzerland itu menjalani hukuman penjara selama setahun di Thailand atas dakwaan ugutan dan memeras wang daripada bekas majikannya sebelum dibebaskan pada 2016.

Hantaran Facebook Justo itu dibuat beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas keempat-empat pertuduhan salah guna kuasa dan kesemua 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan skandal penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Bekas presiden Umno itu dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta diperintahkan membayar denda keseluruhan berjumlah RM11.38 bilion bagi empat kesalahan salah guna kuasa.
Mengulas lanjut, Justo berkata fikirannya turut bersama rakyat Malaysia yang menderita akibat rasuah 1MDB yang menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit.
“Secara peribadi, ini saat yang penuh emosi. Ia merupakan hasil akhir bertahun-tahun kerja keras, pengasingan, dan kepercayaan kepada perkara yang betul, walau setinggi mana harga yang terpaksa dibayar.
“Ia melegakan untuk melihat undang-undang berfungsi, melihat keadilan ditegakkan dan keyakinan dipulihkan — bukan sahaja terhadap sistem, tetapi juga terhadap manusia.
“Keputusan ini membawa implikasi lebih luas daripada Malaysia sahaja.
“Ia terpakai kepada pembocor maklumat, mangsa rasuah dan mereka yang sebelum ini diberitahu bahawa bercakap benar itu sia-sia,” katanya.
