Walaupun bekas perdana menteri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara kerana menyelewengkan dana 1MDB namun peguam dan aktivis Latheefa Koya berkata dia tiada banyak sebab untuk meraikannya.
Bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu membangkitkan isu pilih kasih antara apa yang berlaku terhadap Najib dan beberapa ahli politik lain yang sejajar dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Keadilan jenayah mesti dilaksanakan secara saksama dan undang-undang mesti diterapkan sama rata. Orang ramai tahu ini tidak berlaku.
“Najib ke penjara — tetapi mereka yang berada di peringkat tertinggi kerajaan Sabah, sekutu politik kerajaan Madani, yang dirakam dalam video menerima rasuah — masih bebas seperti burung,” katanya.

“Dan (Ahmad) Zahid (Hamidi), sekutu utama PMX — yang tanpa sokongannya kerajaan Madani akan tumbang — kes rasuahnya digugurkan — begitu sahaja,” tambahnya.
Latheefa merujuk kepada dakwaan skandal rasuah perlombongan di Sabah yang membabitkan beberapa pemimpin negeri dan wakil rakyat, yang dirakam berbincang mengenai dakwaan suapan.
Pada 2023, Zahid timbalan perdana menteri Anwar dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Latheefa turut merujuk satu lagi kes melibatkan bekas pembantu politik Anwar, apabila SPRM “dengan sangat cepat dan secara terbuka” membersihkan namanya, dipercayai merujuk kepada Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

“Betapa baiknya mereka bertindak begitu pantas untuk membersihkan namanya.
“Sebaliknya, ada pihak lain dikejar tanpa henti oleh SPRM. Mungkin mereka bersalah, mungkin tidak. Tetapi 'double standard' itu jelas.
“Jadi, saya tidak meraikan. Kerana seorang bekas perdana menteri mungkin boleh disabitkan tetapi kita masih belum mempunyai sistem keadilan jenayah yang adil, berkecuali dan telus yang boleh menimbulkan keyakinan dalam kalangan rakyat di sini dan di peringkat global.
“Adakah kita akan pernah memilikinya,” soalnya.
