Bekas peguam negara Apandi Ali, yang membersihkan Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam skandal 1MDB pada 2016, memberi respons kepada keputusan Mahkamah Tinggi semalam.
Ketika dihubungi oleh Malaysiakini mengenai keputusan mahkamah yang mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas semua 25 pertuduhan berkaitan rasuah, Apandi berkata:
"Sometimes one has to pay for lapse of intelligence." (Kadangkala seseorang terpaksa menenaggung akibat kerana kealpaan)
Apandi bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya maksud sebenar kata-katanya.
Semalam, hakim yang mempengerusikan kes 1MDB, Collin Lawrence Sequerah, menyampaikan keputusan mahkamah Kuala Lumpur, yang mendapati Najib bersalah atas semua empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan skandal 1MDB.
Bekas presiden Umno itu dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan diperintahkan membayar denda keseluruhan RM11.38 bilion atas empat kesalahan penyalahgunaan kuasa.
Pada kemuncak siasatan pihak berkuasa terhadap skandal 1MDB dan SRC International pada 2015, Najib telah menubuhkan pasukan petugas khas yang diketuai oleh peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail.
Gani kemudiannya digantikan oleh Apandi, yang kemudiannya mengadakan sidang media pada 26 Januari 2016 membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.
Menurut Apandi, tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh SPRM.
"Berdasarkan fakta dan bukti pada masa itu, saya berpuas hati bahawa tiada kesalahan jenayah yang dilakukan oleh PM," kata Apandi ketika itu berhubung tiga kertas siasatan tersebut.
Apandi ketika itu juga memaklumkan dia akan mengembalikan kertas siasatan yang berkaitan kepada SPRM dengan arahan untuk menutup tiga kertas siasatan tersebut.
