Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCMC teruskan libat urus dengan platform media sosial - Fahmi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneruskan sesi libat urus dengan penyedia platform media sosial bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan tempatan, yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Jan 2026, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata maklum balas yang diterima daripada penyedia platform terhadap libat urus yang dilaksanakan MCMC setakat ini berbeza-beza, dengan sebahagian daripadanya menunjukkan tahap kerjasama tinggi dalam menangani kandungan bermasalah, manakala ada juga yang masih kurang memberikan komitmen.

“Ada platform yang sangat proaktif, tetapi ada juga yang apabila kita salurkan aduan atau maklumat, langsung tidak diendahkan,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Ekonomi M. Saraswathi.

Fahmi berkata meskipun platform media sosial dengan lebih lapan juta pengguna tidak perlu memohon lesen secara rasmi seperti diumumkan oleh MCMC sebelum ini, namun undang-undang Malaysia tetap terpakai ke atas mereka.

Beliau berkata ini kerana kerajaan mahu memastikan platform media sosial di Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan dan aktiviti di platform masing-masing.

“Kita sudah beri peluang ... ada yang akur, ada yang memberikan pelbagai alasan. Tetapi realitinya, masalah jenayah dalam talian tidak berkurangan, malah semakin merisaukan,” katanya.

Beliau berkata kes penipuan dalam talian kini berlipat ganda, selain peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake, serta kegiatan perjudian dalam talian yang dilihat sukar dibendung.

Fahmi turut merujuk laporan antarabangsa yang mendedahkan bahawa terdapat platform tertentu yang menjana pendapatan melalui iklan penipuan, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai tanggungjawab penyedia perkhidmatan digital.

“Atas dasar itu dan mengambil kira apa yang berlaku di negara lain, kerajaan melihat ada kewajaran untuk mentakrifkan ataupun menyifatkan semua platform media sosial sebagai telah dilesenkan. Tak perlu melalui proses pelesenan tapi undang-undang negara terpakai," katanya.

Mengulas kemungkinan tentangan daripada platform besar, termasuk syarikat teknologi global, Fahmi berkata kerajaan tidak boleh terus menunggu sedangkan mangsa penipuan dan penyalahgunaan digital terus bertambah.

“Saya masih ingat, sehari sebelum Krismas 2024, wakil sebuah platform besar menghubungi saya dan menyatakan kesediaan untuk menghantar aplikasi (mereka), tetapi setahun berlalu tanpa sebarang tindakan. Mangsa scam dan mangsa penyalahgunaan AI tidak boleh menunggu,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan semua platform dengan lebih lapan juta pengguna perlu akur dan mematuhi undang-undang Malaysia, dengan langkah berkenaan dijadual berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026.

Fahmi berkata pendekatan berbeza yang ditunjukkan oleh penyedia platform dalam mengoperasikan platform mereka mengukuhkan lagi keperluan untuk satu kerangka tanggungjawab yang jelas demi keselamatan ruang digital negara.

“Saya berpandangan semua platform perlu akur dan bekerjasama untuk memastikan Internet selamat untuk semua, terutama kanak-kanak dan keluarga. Ini soal tanggungjawab, bukan semata-mata kawalan,” katanya.

MCMC sebelum ini memaklumkan bahawa platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia tidak lagi diwajibkan memohon lesen operasi, namun tetap tertakluk sepenuhnya kepada peruntukan undang-undang negara, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang berkaitan lain.

Langkah itu, antara lain bertujuan memastikan penyedia platform bertanggungjawab dalam menangani kandungan menyalahi undang-undang, termasuk penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu, penyalahgunaan akaun palsu serta jenayah melibatkan kanak-kanak, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh keselamatan ruang digital negara.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS